Petronas usaha kurangkan kos ASF, kekalkan prestasi F1 - Utusan Malaysia

Petronas usaha kurangkan kos ASF, kekalkan prestasi F1

SAZALI Hamzah (kanan) bersama Toto Wolff (kiri) serta pelumba Pasukan Formula 1 Mercedes-AMG Petronas, George Russell (dua dari kiri) dan Kimi Antonelli bergambar dalam sidang akhbar sempena perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain di Menara Berkembar Petronas (KLCC), hari ini. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petronas sedang memberi tumpuan kepada usaha menjadikan bahan api mampan termaju (ASF) lebih ekonomik tanpa menjejaskan prestasi, selaras dengan cabaran baharu yang timbul daripada perubahan peraturan unit kuasa Formula 1 (F1).

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Seri Sazali Hamzah berkata, usaha mengoptimumkan kos pengeluaran bahan api mampan kini menjadi antara fokus utama pasukan saintis Petronas.

Menurutnya, cabaran tersebut adalah untuk menghasilkan bahan api yang lebih ekonomik, namun pada masa sama mampu mengekalkan tahap prestasi yang diperlukan dalam persekitaran perlumbaan berprestasi tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Cabaran yang kami hadapi sekarang adalah bagaimana untuk menjadikannya lebih ekonomik tetapi pada masa sama mengekalkan prestasi.

“Itu antara perkara yang sedang diberi tumpuan oleh saintis kami,” katanya pada sidang media bersama Petronas dan Mercedes-AMG Petronas Formula One Team di sini hari ini.

Kerjasama teknikal Petronas-Mercedes sejak 2010 kini menjadi antara platform penyelidikan dan pembangunan syarikat untuk menguji teknologi bahan api, pelincir dan unit kuasa dalam keadaan perlumbaan yang sangat mencabar.

Usaha tersebut juga memberi ruang kepada Petronas untuk meneroka pembangunan penyelesaian bahan api yang lebih mampan dan berpotensi diaplikasikan di luar arena sukan permotoran.

Sazali berkata, pengalaman membangunkan serta menguji ASF dalam F1 turut memberikan Petronas pengetahuan penting yang boleh dimanfaatkan untuk aplikasi tenaga lebih luas.

Katanya, proses menguji teknologi dalam keadaan ekstrem membolehkan Petronas memperoleh data dan pengalaman yang sukar diperoleh melalui penggunaan biasa.

“Apabila kami menguji dalam keadaan paling mencabar, pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh akan memudahkan kami apabila berdepan aplikasi lain.

“Pendekatan itu membolehkan teknologi bahan api terus diperhalusi dari aspek prestasi, kecekapan dan kos,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Prinsipal Pasukan Mercedes-AMG Petronas F1, Toto Wolff berkata, perubahan rangka kerja unit kuasa F1 akan terus mencabar Petronas dan Mercedes untuk meningkatkan keupayaan teknologi bahan api serta enjin.

Ujarnya, peningkatan aliran bahan api bagi menghasilkan kuasa lebih tinggi memerlukan teknologi bahan api dan unit kuasa terus dioptimumkan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan peraturan.

“Dengan peraturan baharu, pembangunan sentiasa dinamik. Perubahan ini bermakna aliran bahan api yang lebih tinggi untuk menghasilkan lebih banyak kuasa.

“Bahan api yang digunakan hari ini perlu terus berkembang bagi memenuhi perubahan peraturan sambil mengekalkan kelebihan prestasi,” katanya.

Tambahnya, cabaran berkenaan memerlukan Petronas dan Mercedes terus meningkatkan keupayaan masing-masing dalam pembangunan bahan api dan unit kuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×