Manfaat sektor pelancongan tidak sekata

Manfaat sektor pelancongan tidak sekata

MBSB Research menjangkakan AEON mendapat manfaat daripada trafik pusat beli-belah dan perbelanjaan runcit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pelancongan dijangka memberi manfaat tidak sekata kepada kaunter pengguna, terutama syarikat yang terdedah kepada pusat beli-belah tumpuan pelancong, makanan dan minuman tempatan serta permintaan minuman. 

MBSB Research berkata, Malaysia merekodkan 12.8 juta ketibaan pelancong pada separuh pertama 2026, hampir tidak berubah dengan penurunan 0.03 peratus berbanding 12.9 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan sektor pelancongan masih menyokong penggunaan, namun belum memberikan peningkatan yang ketara.

“Komposisi ketibaan juga semakin bercampur. Ketibaan dari China dan Singapura kekal stabil tanpa pertumbuhan luar biasa.

“Sebaliknya, ketibaan dari Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) sederhana dalam beberapa bulan kebelakangan ini, khususnya pada April hingga Mei,” katanya dalam nota penyelidikan.

MBSB Research berkata, ketibaan pelancong dari Indonesia turut berkurangan dalam tempoh sama, manakala ketibaan dari Thailand dan Vietnam secara keseluruhannya tidak berubah atau lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, ketibaan dari Filipina dan India yang sebelum ini kukuh pada awal tahun turut mula menunjukkan kelemahan sekitar April hingga Mei.

“Secara keseluruhan, latar belakang sektor pelancongan kekal menyokong, namun kadarnya tidak cukup kukuh untuk mendorong peningkatan menyeluruh dalam pendapatan sektor pengguna,” katanya.

Dalam sektor pengguna, MBSB Research menjangkakan syarikat yang mempunyai pendedahan kepada pusat beli-belah tumpuan pelancong, konsep makanan dan minuman tempatan serta penggunaan minuman menjadi antara penerima manfaat yang lebih jelas.

Katanya, AEON dijangka mendapat manfaat daripada trafik pusat beli-belah dan perbelanjaan runcit, manakala Oriental Kopi berpotensi mene­rima manfaat daripada peningkatan kunjungan ke kafe serta minat pelancong terhadap konsep tempatan.

“F&N, Spritzer dan Life Water kekal berada dalam kedudukan untuk mendapat manfaat daripada permintaan tambahan terhadap minuman dan air botol.

“QL Resources pula menawarkan pendedahan tidak langsung melalui rangkaian kedai serbaneka FamilyMart,” katanya.

MSBSB Research memberikan penarafan ‘beli’ kepada AEON dengan harga sasaran (TP) RM1.61 dan Oriental Kopi dengan TP pada RM1.34.

Sementara itu, F&N, Spritzer dan Life Water masing-masing diberikan penarafan ‘neutral’ dengan TP masing-masing  RM25.71, RM2.92 dan RM1.63.

QL Resources turut diberikan penarafan ‘neutral’ dengan TP RM4.11. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×