Malaysia di fasa kritikal naik ke rantai nilai lebih tinggi

Malaysia di fasa kritikal naik ke rantai nilai lebih tinggi

AKMAL Nasrullah Mohd Nasir (dua dari kanan) dan Presiden Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC), Zahris Sham Abu Musa (dua dari kiri) mengadakan lawatan di reruai sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia ke-8 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada pada fasa kritikal untuk bergerak naik ke rantai nilai yang lebih tinggi merentasi pelbagai sektor utama ekonomi negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sehubungan itu cabaran utama kerajaan ketika ini bukan sekadar menarik kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI), sebaliknya menterjemahkan komitmen pelaburan berkenaan kepada nilai ekonomi sebenar serta pembangunan bakat berkemahiran tinggi.

Menurut beliau, pelaburan strategik negara dalam sektor Terminal Pengegasan Semula Gas (RGT) sebagai contoh berupaya membuka lebih banyak peluang untuk meletakkan kedudukan Malaysia sebagai platform serantau bagi sektor gas asli dan peralihan tenaga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita bangga dengan jumlah pelaburan yang berjaya ditarik masuk. Namun cabaran seterusnya adalah memastikan nilai yang dapat dijana daripada pelaburan tersebut, terutamanya dalam membangunkan bakat tempatan dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Sama seperti sektor semikonduktor di mana kita berusaha beralih daripada kepakaran back-end ke front-end, sektor gas asli juga perlu memanfaatkan pemindahan teknologi, harta intelek (IP) dan inovasi baharu untuk dieksport ke pasaran luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Sesi Panel Plenari; Masa Depan Sudah Tiba, Gas Adalah Destinasi sempena Pameran dan Persidangan Gas dan Minyak (OGA) 2026, di sini hari ini.

Turut hadir pada sesi tersebut termasuk Presiden Persatuan Gas Malaysia (MGA), Abang Yusuf Abang Puteh, Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum Berhad, Datuk Dr. Kenneth Gerard Pereira.

Mengulas mengenai pelaksanaan dasar, Akmal Nasrullah berkata, kecekapan sesuatu kerajaan atau agensi tidak diukur menerusi pengenalan idea-idea baharu secara berterusan, sebaliknya menerusi ketekalan dalam melaksanakan dasar sedia ada sehingga mencapai hasil yang disasarkan.

Beliau turut menyeru generasi muda dan bakat baharu untuk menyertai industri serta berani mencabar keupayaan diri bagi menghasilkan teknologi buatan Malaysia yang diiktiraf di peringkat global.

“Aset utama kita bukan hanya pada produk, tetapi persediaan bakat tempatan untuk menggalas cabaran industri berteknologi tinggi. Kita mahu melihat bakat Malaysia tampil menghasilkan teknologi tersendiri yang mampu mentransformasi industri bukan sahaja di dalam negara, malah di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Shell Malaysia merangkap Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman berkata, menekankan kepentingan kestabilan serta kebolehaturan dasar dan rangka kerja kawal selia dalam mengekalkan iklim pelaburan yang kompetitif di Malaysia bagi jangka panjang.

“Malaysia telah membuktikan penawaran rejim fiskal yang stabil dan progresif, dikawal selia dengan cekap oleh Petronas. Kestabilan sebegini adalah perkara utama yang diperlukan oleh pelabur industri untuk terus melabur pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN