KERAJAAN perlu mempertimbangkan penetapan gaji minimum mengikut negeri atau zon bagi mencerminkan perbezaan kos sara hidup yang ketara antara kawasan bandar, bandar sederhana dan luar bandar.
Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penggunaan satu kadar gaji minimum untuk seluruh negara kurang mencerminkan realiti kos kehidupan pekerja yang berbeza mengikut lokasi.
“Kos hidup di Kuala Lumpur dan Kangar jauh berbeza, tetapi gaji minimum yang ditetapkan adalah sama. Kadar yang mungkin munasabah di satu kawasan tidak semestinya mencukupi di kawasan lain.
“Justeru, Malaysia perlu mempertimbangkan konsep gaji minimum berzon yang mengambil kira kos kehidupan sebenar di setiap kawasan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mencadangkan tiga zon utama iaitu RM2,000 bagi Kuala Lumpur dan Selangor, RM1,850 bagi bandar besar lain dan RM1,700 bagi kawasan luar bandar.
Menurutnya, pendekatan berkenaan boleh memastikan struktur gaji lebih selari dengan perbezaan kos perumahan, makanan, pengangkutan dan keperluan asas antara negeri.
“Selain lokasi, saiz dan komposisi isi rumah juga perlu diberi perhatian kerana keperluan pekerja yang mempunyai tanggungan adalah berbeza daripada pekerja bujang.
“Elaun tanggungan boleh dipertimbangkan sebagai mekanisme tambahan bagi membantu pekerja yang mempunyai keluarga lebih besar tanpa meletakkan keseluruhan beban tersebut kepada kadar gaji asas,” ujarnya.
Aimi Zulhazmi berkata, penetapan gaji mengikut lokasi juga perlu disokong dengan penanda aras gaji wajar yang dikemas kini secara berkala.
Katanya, anggaran gaji wajar bagi 2026 adalah sekitar RM2,800 hingga RM3,200 bagi pekerja bujang di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang, RM2,400 hingga RM2,700 di bandar sederhana serta RM2,100 hingga RM2,400 di luar bandar.
“Penentuan gaji wajar perlu berdasarkan kos sebenar asas seperti sewa, makanan, pengangkutan, kesihatan dan pendidikan. Kita juga perlu mengambil kira inflasi isi rumah kerana tekanan harga yang dirasai pekerja tidak semestinya sama dengan kadar inflasi keseluruhan.
“Pada masa sama, produktiviti perlu menjadi sebahagian daripada formula kerana pertumbuhan gaji perlu bergerak seiring dengan nilai yang dihasilkan pekerja,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan gaji minimum mengikut zon perlu dibuat secara berperingkat bagi mengelakkan tekanan mendadak kepada majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Majikan dalam sektor seperti makanan dan minuman, peruncitan serta perladangan mempunyai margin keuntungan sekitar lima hingga 10 peratus. Kenaikan kos buruh yang terlalu mendadak boleh menyebabkan mereka mengurangkan pekerja atau memindahkan kos kepada pengguna.
“Jalan tengah ialah melaksanakan kenaikan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun supaya majikan mempunyai masa untuk menyesuaikan operasi dan meningkatkan produktiviti,” jelasnya.
Sementara itu, Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, penetapan gaji wajar di Malaysia perlu mengambil kira perbezaan kos sara hidup mengikut lokasi, dengan pendekatan berasaskan indeks gaji kehidupan wajar lebih sesuai berbanding menggunakan satu angka yang sama untuk seluruh negara.
Katanya, gaji minimum perlu kekal sebagai lantai nasional yang mudah dan seragam, namun penanda aras gaji wajar seharusnya mengambil kira perbezaan kos kehidupan antara negeri dan kawasan.
“Gaji minimum perlu kekal sebagai lantai nasional yang mudah dan seragam, tetapi gaji wajar boleh mempunyai indeks mengikut lokasi.
“Perbezaan antara Kuala Lumpur dan Selangor, Pulau Pinang, Johor Bahru, bandar-bandar besar lain, bandar sederhana dan kawasan luar bandar perlu diambil kira kerana kos kehidupan tidak sama di semua kawasan,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan satu angka gaji wajar untuk seluruh negara boleh memberi gambaran yang kurang tepat kerana kos tempat tinggal, makanan, pengangkutan dan keperluan asas berbeza mengikut lokasi.
Tambahnya, penanda aras gaji sara hidup sekitar RM3,100 sebulan boleh digunakan sebagai rujukan awal, namun angka itu tidak seharusnya dianggap sebagai kadar mutlak bagi semua pekerja di seluruh negara.
Barjoyai berkata, saiz isi rumah juga perlu dipertimbangkan kerana keperluan seorang pekerja bujang berbeza daripada pekerja yang mempunyai pasangan, anak atau tanggungan ibu bapa warga emas.
Beliau berkata, mengambil kira faktor tersebut tidak bermakna gaji minimum perlu dipecahkan kepada terlalu banyak kadar sehingga menyukarkan pelaksanaan.
“Gaji minimum dan gaji wajar ialah dua perkara berbeza. Gaji minimum boleh kekal sebagai kadar nasional, manakala gaji wajar digunakan sebagai penanda aras yang lebih terperinci berdasarkan lokasi, saiz isi rumah, kos sara hidup serta kemahiran dan produktiviti pekerja,” katanya. – UTUSAN










