Harga pasir melonjak sehingga 7.7 peratus pada Ogos - Utusan Malaysia

Harga pasir melonjak sehingga 7.7 peratus pada Ogos

HARGA pasir meningkat pada Ogos 2026. - GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks harga seunit pasir mencatatkan peningkatan antara 0.3 peratus sehingga 7.7 peratus pada Ogos 2026 berbanding bulan sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, peningkatan tertinggi bagi bahan binaan berkenaan direkodkan di Kota Kinabalu sebanyak 7.7 peratus, diikuti Perak pada kadar 2.4 peratus.

“Kawasan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Sibu pula masing-masing merekodkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus.

“Sebaliknya, indeks harga seunit besi mencatatkan penurunan bulan ke bulan antara negatif 0.3 peratus hingga negatif 2.4 peratus di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-2.4 peratus), Perak (-1.3 peratus) serta Pahang (-0.7 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Menurut DOSM, indeks harga seunit simen pula meningkat antara 0.3 peratus hingga 0.9 peratus melibatkan Kota Kinabalu (0.9 peratus), Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.4 peratus) serta Terengganu dan Kelantan (0.3 peratus).

“Bagi perbandingan tahunan antara Ogos 2025 dan Ogos 2026, indeks harga seunit besi merekodkan peningkatan antara 0.2 peratus hingga 6.9 peratus di kebanyakan kawasan dengan kenaikan tertinggi di Perak (6.9 peratus), Johor (6.4 peratus) dan Tawau (3.8 peratus).

“Indeks harga seunit simen berasaskan tahun ke tahun turut meningkat antara 0.6 peratus hingga 6.7 peratus yang mana Kuching mencatatkan kenaikan tertinggi iaitu 6.7 peratus, diikuti Miri (6.6 peratus) serta Terengganu dan Kelantan (5.9 peratus),” katanya.

DOSM menambah, purata harga seunit besi mencatatkan penurunan kecil 0.3 peratus kepada RM3,484.20 per tan metrik berbanding RM3,496.10 per tan metrik pada Julai 2026.

“Purata harga simen Ordinary Portland pula meningkat 0.3 peratus kepada RM25.80 bagi setiap karung 50 kilogram berbanding RM25.70 pada bulan sebelumnya.

“Bagi Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) termasuk bar keluli di Semenanjung Malaysia, ia mencatatkan penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 1.1 peratus, manakala Sabah dan Sarawak masing-masing merekodkan peningkatan antara 0.1 peratus hingga 3.4 peratus serta 0.1 peratus hingga 0.4 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×