Gamuda mampu kekal buku tempahan lebih RM50 bilion tahun ini

Gamuda mampu kekal buku tempahan lebih RM50 bilion tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gamuda Berhad hanya memerlukan kira-kira RM3 bilion kontrak baharu bagi memastikan buku tempahannya kekal melebihi RM50 bilion menjelang akhir 2026, menurut analisis Phillip Capital.

Firma penyelidikan itu berkata, kedudukan tersebut mencerminkan keterlihatan pendapatan yang kukuh bagi kumpulan pembinaan berkenaan, susulan kemenangan kontrak bernilai RM7.3 bilion setakat tahun ini.

Katanya, jumlah itu bersamaan 29 peratus daripada sasaran pengisian semula buku tempahan sebanyak RM25 bilion bagi tahun kewangan 2027, selain disokong dua kontrak pusat data (DC) baharu bernilai RM3.6 bilion.

“Projek Gamuda di Port Dickson, Negeri Sembilan itu dianugerahkan oleh sebuah syarikat multinasional (MNC) yang juga merupakan pelanggan pusat data sedia ada kumpulan tersebut,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dua kontrak berkenaan melibatkan pembinaan premis satu tingkat yang merangkumi infrastruktur tapak, struktur teras dan dalaman bangunan, selain kerja pemasangan mekanikal, elektrik dan paip (MEP).

Kontrak itu dijangka dimulakan pada suku keempat 2026, dengan pusat data pertama dijadualkan siap pada suku ketiga 2028, manakala projek kedua dijangka siap pada suku keempat 2028.

Phillip Capital berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada tapak seluas 157 hektar milik Pearl Computing, dengan Gamuda sebelum ini telah memperoleh dua kontrak pusat data di kawasan sama.

“Status sebagai kontraktor sedia ada memberikan kelebihan dari segi pengalaman dan kefahaman terhadap keperluan tapak, sekali gus meningkatkan potensi untuk memperoleh kontrak seterusnya,” katanya.

Keseluruhan tapak tersebut berpotensi menempatkan sehingga lapan pusat data dengan nilai pembinaan keseluruhan dianggarkan mencecah RM15 bilion.

Kontrak terbaharu itu pula dijangka mencatat margin kasar sekitar 8 peratus.

Dengan mengambil kira kadar penggunaan hasil sebanyak RM1.3 bilion sebulan, Phillip Capital berkata, Gamuda hanya memerlukan kontrak baharu bernilai RM3 bilion untuk memastikan buku tempahannya kekal melebihi RM50 bilion.

Selain sektor pusat data, kumpulan itu turut mempunyai peluang tender yang kukuh dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE), selain projek Transit Aliran Massa (MRT) dan infrastruktur di Taiwan serta Singapura.

“Justeru, kami mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham syarikat ini dengan harga sasaran (TP) RM5.33 sesaham berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP),” katanya.

Bagaimanapun, Phillip Capital mengingatkan antara risiko utama yang dihadapi Gamuda termasuk kelewatan pelaksanaan atau pemberian projek, gangguan rantaian bekalan serta prestasi jualan hartanah yang lebih lemah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×