Gaji minimum RM1,700 belum jamin taraf hidup wajar

Gaji minimum RM1,700 belum jamin taraf hidup wajar

PEKERJA pembinaan di ibu negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSOALAN mengenai gaji pekerja kini bukan lagi sekadar berapa kadar minimum yang perlu dibayar majikan, tetapi sama ada pendapatan diterima benar-benar sepadan dengan kos untuk menjalani kehidupan yang wajar.

Gaji minimum RM1,700 penting sebagai perlindungan pendapatan asas pekerja, namun jumlah itu belum semestinya menjamin taraf hidup yang wajar, terutama bagi pekerja yang mempunyai komitmen isi rumah lebih tinggi.

Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, terdapat jurang antara gaji minimum dengan gaji wajar kerana kedua-duanya mempunyai tujuan yang berbeza.

Katanya, gaji minimum menetapkan paras gaji terendah yang dibenarkan oleh undang-undang, manakala gaji wajar mengambil kira sama ada pendapatan daripada waktu kerja biasa mencukupi untuk menampung kehidupan yang baik bagi pekerja dan keluarganya. 

“Pekerja tidak sepatutnya perlu bergantung pada kerja lebih masa yang berlebihan atau berhutang secara berulang untuk memenuhi keperluan harian. 

“Panduan Belanjawanku 2024/2025 menganggarkan keperluan bulanan individu bujang di Lembah Klang sebanyak RM1,970 jika menggunakan pengangkutan awam dan RM2,800 jika memiliki kereta.

“Ini bermakna kedua-dua jumlah tersebut sudah melebihi gaji minimum RM1,700, ma­sing-masing sebanyak RM270 dan RM1,100,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, jumlah itu juga sebelum mengambil kira potongan gaji seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurutnya, angka berkenaan perlu dilihat sebagai penanda aras daripada edisi Belanjawanku 2024/2025 dan bukannya anggaran baharu bagi September 2026.

Siong Hook berkata, keadaan setiap pekerja adalah berbeza kerana mereka yang tinggal bersama ibu bapa mungkin dapat menampung kehidupan dengan perbelanjaan lebih rendah apabila kos perumahan dan keperluan lain dikongsi.

Katanya, inflasi yang lebih perlahan pula bermaksud harga meningkat pada kadar yang lebih rendah, namun kenaikan harga yang berlaku sebelum ini masih mempengaruhi perbelanjaan isi rumah.

Mengenai paras gaji wajar, beliau berkata, tiada satu jumlah yang boleh mewakili keperluan semua pekerja di Malaysia dengan tepat.

“Pada pandangan saya, gaji kasar sekitar RM3,000 wajar dipertimbangkan sebagai titik permulaan perbincangan bagi seorang pekerja bujang di bandar. 

“Bagaimanapun, angka ini bukan anggaran gaji wajar yang sesuai untuk semua orang kerana keperluan seseorang bergantung kepada keadaan kehidupan masing-masing.

“Jumlah tersebut mungkin lebih mencukupi bagi seseorang yang menggunakan pengangkutan awam dan berkongsi tempat tinggal berbanding pekerja yang memerlukan kereta atau mempunyai tanggungan. Penanda aras yang dikira secara terperinci boleh menjadi lebih tinggi atau lebih rendah,” jelasnya.

Menurutnya, penentuan gaji wajar perlu merangkumi keperluan asas seperti makanan yang mencukupi, perumahan yang sesuai, utiliti dan pengangkutan, selain penjagaan kesihatan, komunikasi dan penyertaan asas dalam kehidupan sosial.

“Pengiraan juga per­lu ­mengambil ki­ra penjagaan anak, pendidikan serta penjagaan tanggungan warga emas atau orang kurang upaya, selain peruntukan kecemasan dan simpanan yang bersesuaian.

“Bilangan orang dewasa yang secara realistik mampu bekerja dan memperoleh pendapatan, potongan gaji serta sokongan kewangan isi rumah yang boleh diharapkan turut perlu dipertimbangkan dalam menentukan keperluan sebenar,” jelasnya.

Siong Hook berkata, Malaysia akan mendapat manfaat daripada penanda aras gaji wajar yang mengambil kira lokasi dan jenis isi rumah serta dikemas kini secara berkala dengan andaian pengiraan yang telus.

Beliau berkata, lokasi sememangnya memainkan peranan penting kerana kos sara hidup bukan hanya bergantung kepada harga sewa rumah.

“Rumah yang lebih murah tetapi jauh daripada tempat kerja mungkin memerlukan kos perjalanan yang lebih tinggi. Begitu juga perjalanan yang lebih jauh untuk bekerja, bersekolah atau mendapatkan rawatan boleh meningkatkan perbelanjaan isi rumah.

“Oleh itu, kita tidak boleh menganggap bahawa semua kos sara hidup di luar bandar adalah rendah hanya kerana harga perumahan mungkin lebih murah,” ujarnya.

Tambahnya, komposisi isi rumah juga sama penting dengan saiz isi rumah kerana keperluan dua orang dewasa dengan dua anak kecil berbeza daripada empat orang dewasa dalam sesebuah keluarga.

Beliau menegaskan pengiktirafan terhadap keperluan keluarga tidak bermaksud majikan perlu membayar gaji asas yang berbeza bagi pekerjaan sama berdasarkan status perkahwinan atau bilangan anak pekerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×