MALAYSIA telah melalui perubahan struktur ekonomi yang ketara sejak merdeka, daripada ekonomi yang banyak bergantung kepada sektor pertanian dan komoditi kepada ekonomi yang kini diterajui sektor perkhidmatan, pembuatan, teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Menurut Ulasan Statistik Ekonomi Malaysia Edisi Khas yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Mei 2025, sektor pertanian menyumbang 28.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 1970, manakala sektor pembuatan menyumbang 14.6 peratus dan perkhidmatan 42.6 peratus.
Perubahan itu semakin ketara apabila Malaysia memasuki fasa perindustrian, dengan sumbangan sektor pembuatan meningkat kepada 24.6 peratus pada 1990 sebelum mencapai 30.9 peratus pada 2000, manakala sumbangan pertanian susut kepada 8.6 peratus.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, perubahan tersebut mencerminkan transformasi ekonomi yang signifikan apabila Malaysia beralih daripada kebergantungan terhadap getah, bijih timah dan pertanian kepada pembuatan berorientasikan eksport sebelum berkembang kepada ekonomi berasaskan perkhidmatan, teknologi dan digital.
Menurut beliau, peralihan itu bukan sekadar penggantian satu sektor dengan sektor lain, sebaliknya mencerminkan usaha negara meningkatkan sumber penciptaan nilai seiring perubahan teknologi dan dasar ekonomi.
“Dahulu kita menjual bahan mentah, kemudian kita menghasilkan barangan industri dan sekarang cabarannya ialah bagaimana kita menghasilkan teknologi, data, reka bentuk, harta intelek dan penyelesaian digital yang bernilai tinggi.
“Perubahan struktur ekonomi itu jelas apabila sektor perkhidmatan dan pembuatan kini menjadi tunjang utama ekonomi Malaysia, dengan kedua-duanya secara bersama menyumbang 82.5 peratus kepada KDNK pada 2025,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Abdul Rais berkata, perkembangan ekonomi digital juga semakin penting apabila subsektor maklumat dan komunikasi berkembang lebih pantas daripada pertumbuhan keseluruhan ekonomi, menunjukkan teknologi digital kini menjadi antara pemacu utama pertumbuhan.
“Ekonomi digital bukan lagi sektor sampingan, sebaliknya semakin menjadi komponen penting dalam memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Kejayaan Malaysia beralih daripada ekonomi berasaskan komoditi kepada pembuatan pula bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya didorong gabungan dasar perindustrian, keterbukaan kepada perdagangan antarabangsa, kemasukan pelaburan asing, pembangunan infrastruktur dan pendidikan serta integrasi negara dalam rantaian bekalan global,” katanya.
Dalam pada itu, antara keputusan penting ialah menjadikan eksport sebagai orientasi utama pembangunan perindustrian dan membangunkan zon perdagangan bebas pada era 1970-an, yang membantu meletakkan Pulau Pinang sebagai hab industri elektrik dan elektronik (E&E).
“Daripada situ, Malaysia mula terhubung dengan rantaian nilai global, khususnya dalam industri semikonduktor.
“Transformasi itu turut mengubah struktur eksport negara apabila Malaysia bergerak daripada bergantung kepada sumber semula jadi kepada produk pembuatan bernilai lebih tinggi,” katanya.
Menurutnya, nilai eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia mencecah rekod RM711.64 bilion pada 2025 berbanding RM231.2 bilion pada 2012, mencerminkan perkembangan besar sektor tersebut dalam ekonomi negara.
Bagaimanapun, Abdul Rais berkata, kejayaan Malaysia dalam sektor pembuatan perlu dilihat secara kritikal kerana sebahagian aktiviti industri masih tertumpu kepada segmen pertengahan seperti pemasangan dan pengujian, sedangkan teknologi, reka bentuk serta harta intelek utama masih banyak dimiliki syarikat asing.
“Cabarannya ialah bagaimana memastikan syarikat Malaysia lebih banyak terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya kita boleh bergerak kepada pertumbuhan yang lebih tinggi,” katanya.
Tambah beliau, beberapa kluster berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa depan, termasuk semikonduktor dan elektronik termaju, AI serta pengkomputeran awan, perkhidmatan bernilai tinggi, teknologi hijau dan tenaga boleh baharu serta industri berteknologi tinggi.
Ujarnya, dalam sektor semikonduktor, Malaysia perlu bergerak melangkaui aktiviti pemasangan dan pengujian kepada reka bentuk litar bersepadu (IC), fabrikasi wafer, pembungkusan termaju serta pengeluaran peralatan semikonduktor.
“AI, pengkomputeran awan, analitik data dan keselamatan siber pula berpotensi menjadi infrastruktur asas kepada hampir semua industri, sama seperti elektrik dan internet pada era terdahulu,” tambahnya.
Abdul Rais berkata, potensi AI dalam meningkatkan produktiviti ekonomi mungkin lebih besar berbanding transformasi pembuatan kerana teknologi itu bersifat tujuan umum yang boleh diaplikasikan merentasi hampir semua sektor.
Katanya, dalam pembuatan, AI boleh digunakan untuk penyelenggaraan ramalan, automasi, kawalan kualiti dan reka bentuk produk, manakala dalam pertanian ia boleh digunakan bagi pertanian tepat, selain membantu diagnosis dalam sektor kesihatan dan pengurusan risiko dalam sektor kewangan.
Menurutnya, produktiviti buruh Malaysia pada 2025 meningkat 3.7 peratus kepada RM44.50 sejam, namun ruang untuk peningkatan masih besar sekiranya AI digunakan secara meluas bagi meningkatkan kecekapan.
“Di sinilah AI boleh menjadi satu perubahan, namun kita tidak boleh menganggap peningkatan produktiviti secara automatik akan meningkatkan taraf hidup semua rakyat,” katanya.
Beliau berkata, selepas hampir tujuh dekad pembangunan ekonomi, Malaysia memerlukan perubahan paradigma dengan mengurangkan kebergantungan terhadap modal asing, tenaga kerja kos relatif rendah dan model pengeluaran berorientasikan eksport semata-mata.
Menurutnya, fasa seterusnya perlu berasaskan gabungan bakat teknologi, inovasi, produktiviti serta penciptaan harta intelek tempatan yang mampu menjadi sumber pertumbuhan ekonomi lebih stabil.
“Universiti juga tidak boleh sekadar menjadi institusi yang melahirkan graduan untuk ekonomi AI, tetapi perlu menjadi sebahagian daripada sistem inovasi negara dengan menghasilkan teknologi, syarikat pemula dan harta intelek yang boleh dikomersialkan,” katanya.
Ukuran kejayaan evolusi AI Malaysia juga tidak seharusnya hanya berdasarkan jumlah pusat data yang dibina atau nilai pelaburan yang diumumkan.
“Ukuran yang lebih penting ialah sama ada produktiviti pekerja meningkat, gaji sebenar meningkat, lebih banyak syarikat teknologi Malaysia dilahirkan dan kita menghasilkan teknologi serta harta intelek sendiri,” katanya.
Tambahnya, pertumbuhan ekonomi berasaskan AI hanya boleh dianggap sebagai transformasi seterusnya jika manfaatnya dapat meningkatkan taraf hidup majoriti rakyat Malaysia.
“Jika jawapannya ya, maka AI boleh menjadi transformasi ekonomi Malaysia yang seterusnya, sama pentingnya seperti peralihan daripada ekonomi berasaskan komoditi kepada industri elektronik beberapa dekad lalu,” tambahnya. -UTUSAN










