Vietnam Halal Connect perkukuh pelancongan mesra Muslim

Vietnam Halal Connect perkukuh pelancongan mesra Muslim

PESAWAT Vietjet.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Vietjet memperkenalkan Vietnam Halal Connect, satu inisiatif yang dicadangkan untuk mengukuhkan kerjasama antara syarikat penerbangan, lapangan terbang, pemain industri pelancongan, badan pensijilan halal serta rakan teknologi bagi menyokong pelancongan mesra Muslim ke Vietnam. 

Inisiatif tersebut diperkenalkan semasa Vietnam Halal Tourism Conference 2026, yang menghimpunkan wakil kerajaan, organisasi antarabangsa serta pemimpin industri untuk membincangkan peluang memperkukuh kedudukan Vietnam sebagai destinasi pilihan pelancong Muslim.

Vietnam Halal Connect dirancang sebagai sebuah platform yang menghubungkan pelbagai pihak dalam rantaian nilai pelancongan bagi meningkatkan penyelarasan antara pemain industri serta memperkaya pengalaman pelancong Muslim. 

Pengarah Komersial Vietjet, Ha Nang Viet berkata, Vietjet berhasrat untuk memperluaskan pilihan hidangan halal, mempertingkatkan penyelesaian perjalanan digital serta memperkukuh kerjasama dengan pemain industri pelancongan melalui inisiatif tersebut.

Katanya, ini bagi memenuhi keperluan pelancong Muslim, di samping menyokong piawaian halal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, jika berkenaan.

“Kami melihat potensi besar untuk meningkatkan daya tarikan Vietnam dalam kalangan pelancong Muslim menerusi hubungan penerbangan yang lebih baik serta perkhidmatan yang memenuhi keperluan perjalanan mereka yang semakin berkembang.

“Melalui Vietnam Halal Connect, kami berharap dapat menggalakkan kerjasama yang lebih erat dalam keseluruhan rantaian nilai pelancongan supaya pelancong Muslim dapat meneroka Vietnam dengan lebih yakin dan selesa,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, Malaysia kekal sebagai antara pasaran serantau utama Vietjet, dengan penerbangan harian dari Kuala Lumpur ke Ho Chi Minh City dan Hanoi yang menyokong pertumbuhan permintaan perjalanan antara dua ekonomi utama ASEAN. 

Jelasnya, dengan permintaan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap destinasi yang menawarkan pilihan makanan halal dan kemudahan mesra Muslim, inisiatif terbaharu Vietjet ini mencerminkan komitmennya untuk menyokong segmen pelancongan yang semakin berkembang.

Berdasarkan statistik yang dibentangkan pada persidangan itu, Vietnam menerima lebih 21 juta pelawat antarabangsa pada tahun 2025, termasuk kira-kira 600,000 pelancong Muslim.

Seiring usaha Vietnam memperkukuh penawaran pelancongan mesra Muslim, Vietjet terus komited untuk meningkatkan hubungan penerbangan serta bekerjasama dengan rakan industri bagi menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih mudah dan menyenangkan kepada pelancong Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN