Saham tenaga sokong pengukuhan FBM KLCI melepasi 1,700

Saham tenaga sokong pengukuhan FBM KLCI melepasi 1,700

BURSA Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengukuhan Bursa Malaysia yang kembali melepasi paras 1,700 mata disokong faktor domestik dan luaran, termasuk prestasi ekonomi negara yang kekal berdaya tahan serta kenaikan harga minyak mentah Brent melepasi AS$80 (RM326.28) setong.

Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif, kadar pengangguran rendah, peningkatan pelaburan serta keuntungan syarikat tersenarai yang masih kukuh menjadi antara pemangkin utama kepada keyakinan pelabur.

Katanya, pelaksanaan projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembangunan pusat data dan industri semikonduktor turut meningkatkan prospek ekonomi negara dalam jangka sederhana.

“Bagi faktor luaran pula, kenaikan harga minyak mentah memberi rangsangan kepada saham berkaitan tenaga, manakala jangkaan bank-bank pusat utama akan mula melonggarkan dasar monetari meningkatkan selera risiko pelabur global.

“Selain itu, jurang kadar dasar semalaman (OPR) dengan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang semakin mengecil menjadikan permintaan terhadap bon dan sukuk Malaysia meningkat, sekali gus menjadikan Bursa Malaysia lebih menarik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada pukul 5 petang semalam, FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KCLI) ditutup tinggi 21.50 mata kepada 1,719.94 berbanding 1,698.44 pada sesi dagangan akhir pada Isnin.

Sementara itu, harga minyak mentah Brent meningkat 3.75 peratus kepada AS$86.42 (RM352.40) setong, manakala penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) naik 3.61peratus kepada AS$80.96 (RM330.14) setong pada lewat petang semalam.

Beliau berkata, kenaikan serentak harga minyak dan pasaran saham tidak semestinya mencerminkan prospek ekonomi yang lebih baik kerana masih terdapat beberapa risiko yang boleh mengubah sentimen pasaran.

Menurutnya, antara risiko itu ialah inflasi yang lebih tinggi, kadar faedah yang kekal tinggi untuk tempoh lebih lama, pertumbuhan penggunaan domestik yang perlahan, peningkatan kos operasi syarikat serta kelembapan ekonomi global yang boleh menjejaskan permintaan terhadap eksport Malaysia.

“Buat masa ini, kenaikan FBM KLCI bersama-sama harga minyak lebih mencerminkan jangkaan bahawa ekonomi Malaysia akan mendapat manfaat daripada pendapatan sektor tenaga yang lebih tinggi serta keyakinan terhadap prospek pelaburan domestik.

“Namun, momentum ini masih bergantung kepada kestabilan geopolitik, dasar monetari global, prestasi ekonomi China dan Amerika Syarikat serta keupayaan kerajaan mengurus inflasi dan kedudukan fiskal.

“Harga minyak sekitar AS$80 (RM326.28) hingga AS$85 (RM346.72) setong lazimnya memberi manfaat bersih kepada Malaysia, tetapi jika meningkat melepasi AS$90 (RM367.11) hingga AS$100 (RM407.90) setong untuk tempoh yang panjang, manfaat itu boleh diimbangi oleh tekanan inflasi, peningkatan kos perniagaan dan risiko kelembapan ekonomi global,” jelasnya.

Sementara itu, CIMB Securities Sdn. Bhd. berkata, ekuiti tempatan dijangka kekal di atas paras 1,700 mata menjelang akhir tahun, disokong oleh pendapatan korporat yang lebih kukuh dan latar belakang dasar domestik yang lebih baik.

Firma pemborkeran berkata, pihaknya menjangkakan indeks penanda aras akan mengukuh pada suku keempat apabila keterlihatan pendapatan bertambah baik dan pasaran yang lebih menyokong pada akhir tahun.

CIMB Securities menaikkan sasaran FBM KLCI akhir 2026 satu mata lebih tinggi kepada 1,746 mata, peningkatan lima peratus daripada paras akhir Jun sebanyak 1,664 mata dan empat peratus melebihi penutupan akhir 2025 sebanyak 1,680 mata.

Dalam pada itu, BIMB Securites Sdn. Bhd. mengekalkan unjuran minyak mentah Brent pada AS$95 (RM387.50) setong bagi keseluruhan 2026, meskipun harga kini berlegar sekitar AS$78 (RM318.16) hingga AS$79 (RM322.22) setong. 

“Walaupun pembukaan semula Selat Hormuz telah mengurangkan kebimbangan bekalan segera, kami percaya risiko harga minyak kekal condong kepada peningkatan disebabkan oleh inventori global yang berkurangan teruk, yang masih belum diisi semula selepas penurunan yang ketara semasa konflik.

“Pada pandangan kami, daya tahan pasaran semasa mengecilkan kerapuhan asasnya, memandangkan penampan inventori kekal nipis, premium insurans risiko perang masih tinggi, dan trafik kapal tangki melalui Hormuz kekal jauh di bawah paras normal. 

“Akibatnya, sebarang gangguan baharu kepada laluan perkapalan, pengeluaran serantau atau kestabilan geopolitik boleh memberi impak yang besar terhadap harga minyak” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN