Reformasi tugas Datuk Bandar, elak konflik kepentingan

Reformasi tugas Datuk Bandar, elak konflik kepentingan

DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR (DBKL)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah mengurangkan pemusatan kuasa kepada Datuk Bandar menerusi penubuhan beberapa jawatankuasa baharu bagi memperkukuh tadbir urus serta mengelakkan konflik kepentingan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah itu merupakan antara 16 inisiatif reformasi tadbir urus dan pentadbiran yang dilaksanakan DBKL dalam tempoh enam bulan lalu susulan kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Katanya, antara jawatankuasa yang ditubuhkan ialah Jawatankuasa Sumbangan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Jawatankuasa Audit DBKL dan Jawatankuasa Tadbir Urus dan Integriti DBKL.

“DBKL juga telah mewujudkan Jawatankuasa Pemantauan Belanjawan yang melibatkan ahli-ahli Parlimen menerusi mesyuarat konsultasi yang dipengerusikan bersama oleh Pengarah Eksekutif DBKL dan Ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Pada masa yang sama, pemerkasaan peranan dan tatacara Lembaga Penasihat sedang diusahakan. Pelbagai jawatankuasa turut ditubuhkan bagi mengelakkan konflik kepentingan, antaranya Jawatankuasa Sumbangan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Jawatankuasa Audit Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Jawatankuasa Tadbir Urus dan Integriti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Jawatankuasa-jawatankuasa ini ditubuhkan bagi berkongsi kuasa Datuk Bandar, sekali gus memperkukuh semak dan imbang dalam proses membuat keputusan di DBKL,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) meminta menteri menyatakan senarai Reformasi Tatakelola dan Tadbir Urus DBKL yang akan dilaksanakan hasil daripada Kajian Kebolehlaksanaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 [Akta 190].

Katanya lagi, DBKL turut mengehadkan kuasa meluluskan sumbangan oleh Datuk Bandar kepada maksimum RM3,000, manakala permohonan melebihi jumlah itu perlu dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi untuk dipertimbangkan.

Selain itu, Hannah berkata, Jawatankuasa Pusat OSC Khas turut dimansuhkan bagi memastikan pengasingan kuasa serta mengelakkan campur tangan politik dalam proses kelulusan pembangunan.

“Melalui Portal OSC 3.0 Plus, sebelum ini DBKL menerima banyak aduan daripada Ahli Parlimen yang tidak mendapat maklumat lengkap mengenai pembangunan yang diluluskan di kawasan mereka kerana tidak mempunyai akses kepada portal OSC. Akibatnya, mereka sukar menjawab aduan penduduk.

“Kini, portal tersebut telah dibuka dan semua Ahli Parlimen mempunyai saluran untuk mengemukakan pandangan kepada Datuk Bandar sebelum sesuatu kelulusan diberikan di peringkat OSC,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN