Eksport buah-buahan diperluas elak harga jatuh

Eksport buah-buahan diperluas elak harga jatuh

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasaran eksport buah-buahan tempatan termasuk durian diperluas ke luar negara sebagai langkah menangani isu lambakan bekalan yang boleh menjejaskan pendapatan petani.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara pendekatan yang sedang diberi perhatian ialah mempercepatkan proses eksport, termasuk ke pasaran China menerusi kerjasama dengan negara serantau.

Beliau berkata, rundingan bersama kerajaan Thailand sedang dilaksanakan bagi memudahkan penghantaran hasil pertanian ke China melalui laluan kereta api, selain memperkemaskan urusan kastam.

“Daripada segi kualiti, kita kena memperbanyakkan eksport. Baru-baru ini kita berunding dengan kerajaan Thailand bagaimana untuk mengeksport barang-barang secara cepat ke China melalui jalan kereta api.

“Perbincangan di peringkat mutakhir adalah supaya urusan kastam dan sebagainya dipermudahkan supaya durian dan buah-buahan kita dapat dihantar dengan lebih cepat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang meminta langkah intervensi kerajaan bagi memastikan harga durian premium dan Harum Manis tidak merosot akibat lambakan bekalan sehingga menjejaskan pendapatan petani.

Mohamad berkata, pasaran durian Malaysia di China masih mempunyai ruang besar untuk dikembangkan kerana ketika ini bekalan hanya tertumpu di bandar-bandar utama.

“Kalau kita lihat durian kita di China hanya berada di bandar-bandar besar, bandar-bandar kecil belum lagi sampai. Bandar kecil di China pun mempunyai penduduk lebih sejuta orang.

“Kita kena pasarkan secara cepat dan berbincang mengenai pelbagai teknologi termasuk kaedah pengawetan buah durian supaya dapat dihantar untuk eksport ke luar negara,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan turut menjalankan usaha di peringkat ASEAN bagi memastikan lebihan bekalan hasil pertanian dapat diurus dengan lebih baik dan tidak memberi kesan besar kepada pendapatan pengusaha.

“Ini usaha kita buat di peringkat ASEAN supaya lambakan itu tidak terlalu memberi kesan kepada penduduk,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN