Ringgit mampu capai RM4.05 berbanding dolar pada separuh kedua - Utusan Malaysia

Ringgit mampu capai RM4.05 berbanding dolar pada separuh kedua

FIRDAOS Rosli ketika bercakap pada Sesi Taklimat Media Mengenai Tinjauan Ekonomi Mikro bagi Separuh Kedua 2026 di Indigo Hotel. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka didagangkan dalam julat RM4.05 hingga RM4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada separuh kedua 2026 dengan mata wang tempatan itu berpotensi pulih sedikit dalam beberapa minggu akan datang.

Antara perkembangan utama yang perlu diberi perhatian ialah keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dan pergerakan kapal di Selat Hormuz ketika rundingan AS-Iran berlangsung.

Ia termasuk momentum eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang dipacu kecerdasan buatan (AI) serta data ekonomi AS dan Malaysia termasuk inflasi dan pasaran buruh.

Ketua Ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli berkata, ringgit ditutup 0.6 peratus lebih rendah berbanding dolar AS pada separuh pertama 2026 selepas melalui beberapa episod turun naik sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Pasangan dolar AS berbanding ringgit (USD/MYR) didagangkan dalam julat RM3.90 hingga RM4.15 sejak Februari dan terus mencatat prestasi lebih baik berbanding kebanyakan mata wang serantau Asia sejak November 2025.

“Bagaimanapun, tekanan terhadap ringgit mula ketara apabila USD/MYR meningkat hampir tiga peratus sepanjang Jun sahaja.

“Keadaan itu didorong terutamanya oleh peningkatan semula hasil bon Perbendaharaan AS (UST) jangka pendek susulan pendirian Rizab Persekutuan (Fed) yang lebih cenderung kepada dasar monetari ketat (hawkish),” katanya semasa Sesi Taklimat Media Mengenai Tinjauan Ekonomi Mikro bagi Separuh Kedua 2026 di sini semalam.

Firdaos berkata, pada masa sama, hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) kekal stabil, disokong oleh pelabur tempatan serta jangkaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kekal stabil dalam tempoh sederhana.

“Keadaan itu melebarkan jurang kadar faedah antara Malaysia dan AS, sekali gus memberi tekanan kepada ringgit.

“Pada masa sama, pengurangan risiko gangguan bekalan tenaga susulan konflik AS-Iran dijangka menghakis kelebihan perdagangan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga di rantau ini.

“Selain itu, risiko jangka sederhana daripada pilihan raya negeri yang bakal berlangsung berpotensi meningkatkan ketidaktentuan dasar serta mendorong sebahagian pelabur asing menyusun semula portfolio mereka dengan mengurangkan pegangan dalam bon kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengakui penyusutan nilai ringgit berpunca daripada beberapa faktor, termasuk penyusunan semula pegangan ekuiti asing susulan semakan Indeks MSCI Malaysia.

“Bagaimanapun, FMC menegaskan asas makroekonomi Malaysia kekal kukuh dan pasaran pertukaran asing domestik terus berfungsi dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pasaran kini mengambil kira sepenuhnya kenaikan kadar faedah Fed sebanyak 25 mata asas menjelang akhir 2026 dengan kemungkinan satu lagi kenaikan menjelang Mac 2027.

“Ini selepas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Fed pada pertengahan Jun yang dilihat lebih cenderung kepada dasar monetari ketat,” ujarnya

Mengulas prospek inflasi, Firdaos berkata, inflasi keseluruhan Malaysia mencatat purata 1.7 peratus bagi tempoh lima bulan pertama 2026 sebelum meningkat kepada 2.0 peratus apabila kenaikan harga minyak mula memberi kesan kepada harga pengguna.

“Kami mengekalkan unjuran inflasi 2026 pada kadar 2.0 peratus, iaitu titik tengah julat unjuran rasmi antara 1.5 hingga 2.5 peratus.

“Ke hadapan, inflasi dijangka terus meningkat sebahagiannya disebabkan kesan tertangguh daripada kenaikan harga bahan mentah dan kos pengangkutan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN