Majlis kahwin gah bukan pilihan

Majlis kahwin gah bukan pilihan

IRDYNA NUR SABRYNA ROSLEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis perkahwinan gah dan meriah bukan lagi menjadi keutamaan golongan muda sebaliknya, mereka lebih mementingkan kewangan yang stabil untuk membina kehidupan selepas berkahwin.

Bagi mereka, impian majlis perkahwinan yang meriah tetap ada, namun membina kehidupan selepas berkahwin lebih diutamakan.

Rata-rata orang muda yang ditemu bual Utusan Malaysia menyatakan, meskipun majlis perkahwinan merupakan detik bermakna dalam kehidupan, namun perancangan kewangan jangka panjang seperti memiliki tempat tinggal dan simpanan selepas berkahwin itu yang perlu diutamakan.

Seorang penyelia, Irdyna Nur Sabryna Roslee, 24, berkata, membeli rumah dan mempunyai kewangan yang stabil adalah penting sebelum mendirikan rumah tangga.

“Namun, perkara itu tidak seharusnya menjadi alasan menangguhkan perkahwinan disebabkan kestabilan kewangan sukar dicapai pada usia muda. Begitu juga membeli rumah pada usia muda.

“Majlis perkahwinan yang besar bukanlah perkara utama kerana kehidupan selepas berkahwin lebih memerlukan kewangan yang banyak,” katanya.

Irdyna lebih memilih mengadakan majlis secara sederhana kerana wang simpanan lebih diperlukan bagi menyediakan kehidupan selepas berkahwin.

Bagaimanapun, katanya, perbelanjaan majlis perkahwinan tidak perlu terlalu dihadkan kerana setiap individu mempunyai impian tersendiri mengenai hari bahagia mereka.

“Perbelanjaan perkahwinan perlu seiring dengan wang simpanan untuk kehidupan selepas berkahwin,” katanya.

Bagi penuntut, Ridhwan Syahir Rusli, 24, dari Bera, Pahang, pula, pasangan muda perlu melihat penggunaan kewangan untuk jangka panjang kerana alam rumah tangga membawa cabaran baharu yang memerlukan perancangan rapi.

RIDHWAN SYAHIR RUSLI

Katanya, jika diberi pilihan antara mengadakan majlis besar atau menggunakan wang tersebut untuk keperluan lain, beliau lebih memilih menyediakan deposit rumah kerana harga rumah semakin meningkat.

“Bagi pasangan muda yang baru berkahwin, mereka akan menghadapi cabaran baharu bersama. Oleh itu, penggunaan kewangan perlu dirancang dengan baik.

“Keputusan mengadakan maj­lis besar kebiasaannya di­pengaruhi pilihan ibu bapa dan keluarga sendiri atas alasan perkahwinan hanya berlaku sekali seumur hidup,” katanya.

Ridhwan berkata, tekanan keluarga dan pandangan masyarakat turut menjadi faktor pasangan memilih majlis kahwin mewah kerana ada anggapan bahawa majlis yang gah mencerminkan kestabilan ekonomi pasangan.

Dalam pada itu, Muhammad Naim Nazwan Ibrahim, 24, pula berpandangan, keutamaan pasangan muda adalah mempunyai tempat tinggal yang sesuai selepas berkahwin, sama ada rumah sewa atau sendiri.

MUHAMMAD NAIM NAZWAN IBRAHIM

Bagaimanapun katanya yang masih menuntut, membeli rumah pada usia muda bukan mudah disebabkan kos yang tinggi, justeru menyewa langkah awal bagi membina kestabilan kewangan.

“Sebagai seorang lelaki, tanggungjawab menyediakan tempat tinggal kepada isteri adalah satu kewajipan. Yang penting, pasangan itu mempunyai tempat untuk tinggal,” katanya.

Nurzaaty Sofia Muhd. Zubir, 24, dari Perak pula berpendapat, pengaruh media sosial turut mendorong pasangan muda mengadakan majlis perkahwinan yang gah walaupun ia diluar kemampuan sebenar mereka.

“Disebabkan nak ikut trend, mereka sanggup berbelanja diluar kemampuan, malah ada yang sanggup buat pinjaman peribadi dan menanggung hutang selepas majlis.

NURZZATY SOFIA MUHD. ZUBIR

“Selain itu, ada juga pasangan yang terpaksa mengadakan majlis besar disebabkan tekanan keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN