PETALING JAYA: Kira-kira 100 petugas perubatan termasuk doktor ditahan oleh rejim Israel dalam usaha melumpuhkan sistem kesihatan di Gaza di samping menyasarkan serangan terhadap hospital.
Antara yang mendapat perhatian dunia ialah seorang pakar perubatan Hospital Kamal Adwan, Dr. Husam Abu Safiya yang ditahan selepas menyerah diri bagi mengelakkan lebih ramai pesakit dan petugas kesihatan menjadi mangsa.
Eksekutif Advokasi dan Penyelidikan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Megat Aiman Hakim Megat Shariffudin berkata, tindakan itu dilihat sebagai sebahagian taktik sistematik untuk melumpuhkan perkhidmatan kesihatan di wilayah berkenaan selain menjejaskan keupayaan masyarakat Gaza untuk bangkit semula selepas perang.
“Nasib Dr. Husam kini menjadi perhatian masyarakat antarabangsa apabila demonstrasi solidariti diadakan di beberapa negara termasuk Paris bagi menuntut pembebasan segera doktor berkenaan
“Ia mencerminkan usaha menyasarkan golongan profesional bagi melumpuhkan sistem kesihatan dan keupayaan masyarakat Gaza untuk bangkit semula,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, Dr. Husam yang bertugas di Hospital Kamal Adwan di utara Gaza ditahan pada Disember 2024 selepas hospital itu dikepung tentera Israel.
“Beliau kini mengalami kemerosotan kesihatan serius akibat layanan diterimanya sepanjang berada dalam tahanan,” katanya.
Katanya, doktor itu mengalami kecederaan pada kepala, telinga, mata serta anggota badan selain berdepan kesukaran bernafas dan sentiasa digari ketika berada di penjara.
“Pada pertemuan dengan peguamnya sekitar 6 Julai lalu, Dr. Husam memaklumkan bahawa itu mungkin kali terakhir mereka melihatnya.
“Sebagai seorang doktor, beliau sendiri memahami keadaan kesihatannya yang semakin merosot berdasarkan tanda-tanda klinikal dialaminya,” katanya. – utusan










