PETALING JAYA: EFS Group memeterai kerjasama strategik bersama Planet QEOS Sdn. Bhd. di bawah Program Tenaga Baram Deeptech bernilai RM2.32 bilion bagi memperkukuh peranan tenaga boleh baharu (TBB) dalam menyokong aspirasi pusat data negara.
Kerjasama itu menyaksikan EFS Group bertindak sebagai Rakan Agrovoltaik dan Keselamatan Makanan bagi membangunkan loji tenaga solar teguh (firm solar) berkapasiti 310 megawatt puncak (MWp) yang dipadankan dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 900 megawatt-jam (MWh).
Projek pertama seumpamanya di Malaysia itu turut merangkumi pembangunan ladang agrovoltaik seluas 650 hektar yang menggabungkan infrastruktur tenaga solar dengan aktiviti pertanian di tanah tinggi Baram, utara Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EFS Group, Darren Tan berkata, keistimewaan projek berkenaan terletak pada keupayaannya menjana manfaat yang melangkaui penghasilan tenaga bersih dengan mengintegrasikan TBB, pengeluaran makanan dan pembangunan komuniti dalam satu ekosistem yang menyeluruh.
“Kami percaya fasa pertumbuhan perindustrian Malaysia yang seterusnya akan semakin bergantung kepada penyelesaian tenaga bersepadu, berbanding dengan penjanaan tenaga secara berasingan.
“Penyelesaian solar-plus-BESS akan menjadi komponen asas dalam perancangan pusat data, sektor pembuatan dan taman perindustrian bagi memperkukuhkan daya tahan operasi untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Langkah EFS Group menyediakan infrastruktur TBB secara aktif ini adalah sebagai persediaan strategik bagi memenuhi unjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang menjangkakan sektor pusat data di Malaysia akan menggunakan sehingga 7.7 gigawatt (GW) tenaga elektrik menjelang tahun 2030.
Setakat ini, penggunaan sebenar pusat data tempatan hanya mencecah 1,102 megawatt (MW), iaitu 54 peratus daripada kapasiti 2,050 MW yang telah diluluskan oleh kerajaan.
Mengulas mengenai pasaran pusat data, Darren berkata, gangguan bekalan elektrik walaupun sekali boleh mengakibatkan kerugian dari AS100,000 sehingga mencecah lebih AS1 juta bagi sesetengah keadaan, sekali gus menjadikan sistem solar-plus-BESS satu keperluan perniagaan yang kritikal untuk membekalkan tenaga stabil sepanjang masa.
Penyelesaian itu juga mampu mengurangkan permintaan puncak terhadap grid nasional sekali gus membantu meringankan beban Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memerlukan sehingga 12GW kapasiti penjanaan baharu menjelang tahun 2031, dengan perbelanjaan modal dijangka meningkat kepada RM43 bilion bagi tempoh 2025 hingga 2027.
Setakat ini, Malaysia telah menerima komitmen pelaburan pusat data berjumlah RM280 bilion dengan RM131 bilion daripadanya telah direalisasikan, manakala baki pelaburan selebihnya kini sedang diperketatkan penelitian oleh pihak berkuasa bagi memastikan komitmen pelaksanaan daripada pihak pelabur. – UTUSAN










