PETALING JAYA: Proton terus memperkukuh kehadiran perniagaan kenderaan elektrik (EV) di peringkat antarabangsa menerusi pelancaran rasmi model Proton e.MAS 5 di Singapura.
Diperkenalkan oleh pengedar rasmi Proton di republik itu, VINCAR Group, ia merupakan model kedua dalam barisan Proton e.MAS yang memasuki pasaran Singapura susulan kemunculan sulung Proton e.MAS 7 pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation, Edmund Lim Meng Thong berkata, pengembangan barisan model e.MAS di pasaran Singapura membuktikan komitmen padu Proton untuk terus cemerlang dalam perjalanan eksport syarikat.
“Pengenalan Proton e.MAS 5 mencerminkan komitmen jangka panjang kami untuk terus meningkatkan jumlah eksport bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
“Pada masa sama, ia mengukuhkan kedudukan Proton sebagai jenama yang menawarkan produk dengan gabungan teknologi canggih, ciri keselamatan dan nilai terbaik kepada pelanggan serantau, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk meluaskan lagi pasaran kami,” katanya dalam kenyataan.
Edmund berkata, sebagai antara pasaran automotif paling kompetitif di Asia Tenggara dengan ekosistem EV yang matang, Singapura menjadi platform penting bagi Proton membuktikan keupayaannya bersaing memenuhi keperluan pengguna berpengetahuan tinggi.
Katanya, matlamat Proton melangkaui angka jualan semata-mata, sebaliknya komited membina perniagaan serantau yang mampan berteraskan kerjasama strategik yang kukuh dan pengalaman pemilikan pelanggan yang cemerlang.
“Kehadiran Proton e.MAS 5 di Singapura meneruskan momentum kejayaan global model berkenaan yang mana bersama model kembarannya daripada Geely, ia telah mencatatkan jualan terkumpul melebihi 610,000 unit di seluruh dunia.
“Pencapaian itu, ditambah dengan statusnya sebagai model EV paling laris di Malaysia, membuktikan keupayaan pengeluar kereta nasional tersebut dalam memanfaatkan platform bertaraf global yang terbukti untuk pasaran eksport,” katanya.
Bagi menarik minat pembeli di Singapura, pemilikan Proton e.MAS 5 didatangkan dengan pelbagai manfaat eksklusif termasuk kredit pengecasan, pakej faedah bernilai S$5,000 (RM16,400), pembiayaan tanpa bayaran pendahuluan, jaminan bateri selama 10 tahun, jaminan rentas sempadan serta perkhidmatan perayauan data Malaysia-Singapura secara percuma. – UTUSAN










