Potongan cukai, subsidi galak pengurangan pembaziran makanan 

Potongan cukai, subsidi galak pengurangan pembaziran makanan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBAZIRAN makanan kini bukan sekadar isu alam sekitar atau tanggungjawab sosial, malah menjadi cabaran ekonomi yang menjejaskan kos sara hidup, produktiviti dan kecekapan rantaian bekalan makanan negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak), Dr. Keeren Sundara Rajoo berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan insentif ekonomi seperti potongan cukai, subsidi dan ganjaran kepada isi rumah serta syarikat yang berjaya mengurangkan pembaziran makanan.

Menurutnya, pendekatan berasaskan insentif lebih berkesan kerana mampu mengubah tingkah laku pengguna dan organisasi apabila wujud manfaat ekonomi. 

“Jepun menjadi contoh negara yang menggabungkan dasar,  penguatkuasaan, insentif, sistem pengukuran dan tanggungjawab industri bagi mengurangkan sisa makanan.

“Sektor perniagaan boleh diberi potongan cukai atau pengiktirafan jika melaksanakan audit makanan, mengurangkan sisa, menyumbangkan lebihan makanan yang masih selamat dimakan serta mengurus sisa organik secara sistematik,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Beliau berkata, bagi isi rumah pula, insentif boleh disalurkan dalam bentuk rebat caj pengurusan sisa, subsidi tong kompos, bantuan projek kompos komuniti dan program agihan lebihan makanan kepada golongan memerlukan. 

“Namun, semua insentif perlu disokong sistem pengukuran dan pelaporan yang telus,” katanya.

Beliau turut menekankan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data dan aplikasi digital bagi meningkatkan kecekapan pengurusan makanan. 

“Aplikasi digital dapat membantu pengguna memantau stok, mengingatkan tarikh luput, mencadangkan menu dan mengelakkan pembelian berlebihan. Dalam sektor perniagaan pula, AI boleh digunakan untuk meramal permintaan, mengoptimumkan inventori dan mengurangkan lebihan pengeluaran,” katanya. 

Keeren berkata, aplikasi KitarNow yang dibangunkan UPM membuktikan teknologi mampu memperkukuh pengurusan sisa. 

“Konsep sama boleh diperluaskan bagi menghubungkan lebihan makanan yang masih selamat dengan NGO atau bank makanan, manakala sisa organik disalurkan ke pusat kompos, operator biogas atau kebun komuniti,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan membangunkan pangkalan data nasional mengenai pembaziran makanan, menetapkan sasaran pengurangan sisa di semua peringkat serta melaksanakan pengasingan sisa makanan secara berperingkat. 

“Selain itu, mekanisme penyelamatan lebihan makanan dan pembangunan kemudahan kompos komuniti perlu diperkukuh,” katanya.

Sementara itu, Pengarah MYSaveFood Ramadan 2026, Ainul A’syara Kamal berkata, masyarakat perlu merancang perbelanjaan dan membeli makanan mengikut keperluan bagi mengurangkan pembaziran. 

Ujarnya, amalan itu juga membantu peniaga membuat unjuran permintaan dengan lebih tepat.

“Antara punca utama pembaziran ialah sikap pengguna yang membeli secara berlebihan serta kegagalan peniaga menganggarkan permintaan. 

“Keadaan itu lebih ketara pada Ramadan apabila peniaga menyediakan makanan dalam kuantiti besar, manakala faktor cuaca turut menyebabkan lebihan makanan,” katanya.

Pogram MYSaveFood @ Bazar Ramadan memberi tumpuan kepada penyelamatan lebihan makanan berikutan pembaziran meningkat kira-kira 20 peratus sepanjang Ramadan. 

Makanan yang dikumpulkan diagihkan kepada sukarelawan institusi pengajian tinggi, penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR), masjid, surau dan golongan memerlukan. 

Selain operasi di bazar Ramadan, MYSaveFood turut melaksanakan projek perintis mengurus lebihan makanan daripada majlis di beberapa dewan pihak berkuasa tempatan.

Program MYSaveFood @ Bazar Ramadan merupakan kerjasama Pemuda GEMA dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), dengan sokongan SWCorp menerusi Kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN