PETALING JAYA: Jenama pastri tempatan, The Layers melonjakkan kepercayaan pelanggan dan mempertingkat sistem operasi syarikat ke tahap lebih tinggi dengan perolehan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Langkah strategik itu menyaksikan transformasi menyeluruh dalam budaya kerja syarikat, sekali gus membuktikan produk bakeri premium bumiputera mampu bersaing hebat dan setanding dengan jenama antarabangsa di pasaran negara ini.
Pengasas merangkap Pengarah The Layers Sdn. Bhd., Ahmad Faris Ramli berkata, pensijilan halal merupakan satu bentuk jaminan kualiti tertinggi di Malaysia yang merangkumi aspek kebersihan, keselamatan makanan dan pengurusan operasi.
“Mendapatkan pensijilan halal bukan sekadar untuk memperoleh sijil atau meletakkan logo pada premis, tetapi ia melibatkan tanggungjawab jangka panjang untuk mengekalkan standard terbaik.
“Proses ini memerlukan kami menyemak setiap bahan mentah, memilih pembekal yang patuh syariah, memperkemas dokumentasi serta melatih kakitangan agar memahami ekosistem halal secara menyeluruh.
“Kini, menerusi integrasi sistem halal, kami menjadi lebih teliti dalam operasi harian termasuk kawalan stor penyimpanan, pengurusan rekod dan sistem kebolehkesanan produk. Ini membantu kami mengekalkan kualiti pastri secara konsisten di semua cawangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengimbas kembali perjalanan perniagaan, Ahmad Faris yang merupakan graduan Diploma Seni Kulinari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun memulakan jenama ini pada tahun 2016 secara kecil-kecilan dari rumah selepas resipi kek karamel pelangi yang dikongsinya di Facebook mendapat permintaan tinggi.
Nama The Layers sendiri diambil bersempena lapisan-lapisan kek pemula tersebut, yang membawa simbolik bahawa setiap kejayaan perniagaan perlu dibina melalui proses, usaha dan pengalaman yang berlapis-lapis dari bawah.
Selepas membuka kafe pertama di Jalan Panji, Kota Bharu pada tahun 2021, jenama itu kini berkembang pesat dengan memiliki tiga cawangan kafe serta sebuah kilang pengeluaran sendiri iaitu The Layers Production House bagi membekalkan produk pastri segar secara konsisten.
Menyentuh aspek pasaran di Pantai Timur, Ahmad Faris tidak menafikan cabaran besar dalam mengubah persepsi masyarakat bahawa jenama kafe premium hanya boleh berjaya di bandar-bandar besar.
“Kami percaya pelanggan di Kota Bharu juga menghargai produk berkualiti, layanan mesra dan suasana kafe yang selesa. Premis kami menitikberatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) menu yang diinspirasikan dari pelbagai negara bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan cita rasa semasa,” katanya.
Bagi perancangan masa hadapan, beliau berkata, The Layers berhasrat untuk memperkukuh kedudukannya sebagai jenama kafe premium tempatan di peringkat nasional dengan membuka lebih banyak cawangan di lokasi strategik secara berperingkat, selain meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang mereka.
Katanya, visi jangka panjang syarikat adalah untuk membuktikan bahawa sebuah jenama yang lahir dari Kota Bharu mampu berkembang secara mampan, berdaya saing dan membawa nama Kelantan ke peringkat yang lebih tinggi dalam industri makanan dan minuman (F&B) negara. – UTUSAN










