PETALING JAYA: Lianson Fleet Group Berhad (LFG) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Lianson Fleet Pte. Ltd. (LFPL) memperoleh dua kapal pukal kelas Ultramax pada harga keseluruhan AS$52.32 juta (RM213.2 juta).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LFG berkata, LFPL menandatangani dua memorandum perjanjian (MOA) berasingan pada 9 Julai 2026 bagi memperoleh MV Tian Mu Shan (MV TMS) dan MV Yan Dang Shan (MV YDS) daripada dua syarikat yang diperbadankan di China.
Katanya, pembelian itu dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank, dengan LFG kini sedang berbincang dengan institusi kewangan bagi mendapatkan pembiayaan sebahagian daripada nilai pembelian untuk mengoptimumkan struktur modal kumpulan serta mengekalkan fleksibiliti kewangan.
“Harga pembelian dipersetujui berdasarkan prinsip pembeli dan penjual yang rela, selepas mengambil kira nilai pasaran semasa serta harga urus niaga kapal pukal setanding dari segi usia dan spesifikasi, status pensijilan kelas kapal serta potensi pendapatan masa depan.
“Mengikut terma perjanjian, deposit sebanyak 10 peratus perlu dimasukkan ke dalam akaun escrow dalam tempoh tiga hari bekerja selepas MOA ditandatangani dan pengesahan escrow diterima.
“Baki harga pembelian pula perlu dibayar dalam tempoh satu hari bekerja selepas notis anggaran penyerahan dikeluarkan oleh penjual,” katanya.
LFG berkata, kapal-kapal itu akan diserahkan di pelabuhan pilihan penjual di mana-mana lokasi di dunia dan tempoh penyerahan bagi MV Tian Mu Shan adalah antara 11 Jun hingga 11 Ogos 2026, manakala MV Yan Dang Shan pula antara 10 September hingga 10 Oktober 2026.
Menurutnya, pengambilalihan itu sejajar dengan strategi kumpulan untuk mengembangkan armada pengangkutan marin dan mempelbagaikan operasi melangkaui segmen kapal sokongan luar pesisir.
“Kedua-dua kapal berkenaan merupakan kapal pukal kelas Ultramax pertama milik kumpulan dan lebih besar berbanding armada kapal kelas Supramax sedia ada.
“Kapal baharu itu dijangka mengukuhkan aliran pendapatan berulang menerusi potensi kontrak sewaan jangka panjang serta kadar penggunaan yang tinggi, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan kumpulan,” ujarnya.
LFG berkata, prospek pasaran kapal pukal kekal positif disokong oleh aliran perdagangan serantau bagi kargo pukal dan komoditi, selain peningkatan jarak penghantaran berikutan perubahan laluan perdagangan, kekangan di terusan dan ketidakseimbangan penawaran serta permintaan di beberapa wilayah.
Syarikat turut menjangkakan pemerolehan itu akan menyumbang secara positif kepada keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan tahun-tahun berikutnya hasil pendapatan daripada kontrak sewaan kapal.
“Pengambilalihan itu tidak akan memberi kesan terhadap modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama kerana tiada terbitan saham baharu terlibat, namun nisbah penggearan kumpulan dijangka meningkat sekiranya pinjaman bank diperoleh bagi membiayai sebahagian pembelian.
“Urus niaga berkenaan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa kerana ia dijalankan dalam urusan biasa perniagaan dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang Oktober 2026,” tambahnya. – UTUSAN










