JIKA kebanyakan usahawan memulakan perniagaan kerana melihat peluang pasaran, kisah WonderBrew bermula dengan sesuatu yang lebih ringkas iaitu rasa ingin tahu terhadap sekeping kultur bakteria yang terapung dalam balang boleh menghasilkan minuman.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasinya, Loke Boon Eng berkata, perjalanannya dalam dunia kombucha tidak bermula di kilang moden atau makmal penyelidikan, sebaliknya di rumah sepupunya sekitar 2011.
Ketika itu, beliau diperkenalkan kepada kombucha, sejenis minuman teh fermentasi yang masih asing dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Kalau pertama kali tengok proses ini memang nampak agak pelik. Ada satu kultur yang terapung dalam balang.
“Sepupu saya cabar saya minum dan selepas cuba, saya rasa ia menarik kerana rasanya macam cuka epal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Minat terhadap bidang biologi membuatkan beliau tertarik untuk memahami bagaimana kultur itu boleh menghasilkan minuman melalui proses fermentasi dan kemudian membawa pulang kultur berkenaan dan mula menghasilkan kombucha sendiri di rumah.
Boon Eng kemudian mula menghasilkan dan menjual kombucha secara kecil-kecilan di kawasan sekitar kediamannya, malah mengadakan kursus pembuatan kombucha kepada peminat minuman berfungsi tersebut.
Perjalanan itu kemudian berubah apabila beliau bertemu Joseph Poh ketika beliau mengendalikan kursus pembuatan kombucha yang kini menjadi rakan perniagaannya sebagai Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif WonderBrew.
Selepas beberapa perbincangan, mereka memutuskan untuk bekerjasama membangunkan sebuah jenama kombucha tempatan yang ditubuhkan secara rasmi pada penghujung 2018.
Joseph berkata, dengan modal sekitar RM60,000 dan kira-kira lima orang pekerja sahaja pada ketika itu, mereka mengembangkan perniagaan secara berperingkat tanpa mengambil pinjaman bank.
“Semua keuntungan yang kami dapat, kami masukkan semula ke dalam perniagaan. Kami berkembang secara perlahan-lahan.
“Apa yang membezakan WonderBrew daripada kebanyakan jenama lain ialah usaha kami dalam memberikan identiti tempatan kepada kombucha.
“WonderBrew memilih untuk menggunakan buah-buahan dan herba tempatan seperti markisa, serai, bunga telang dan jambu batu. Pendekatan itu bukan sahaja membantu menyokong petani tempatan tetapi juga menghasilkan rasa yang lebih dekat dengan pengguna Malaysia,” jelasnya.
Tambahnya, usaha itu ternyata membuahkan hasil apabila perisa markisa mint muncul sebagai produk paling popular syarikat.
“Malah, perisa tersebut berjaya meraih pingat emas di World Kombucha Awards yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol tahun lalu.
“Lebih membanggakan, WonderBrew menjadi syarikat Asia pertama dan satu-satunya yang memenangi enam anugerah dalam satu pertandingan menerusi lima kategori perisa dan satu kategori reka bentuk botol,” ujarnya.
Tambahnya, syarikat tersebut terus mengekalkan prinsip yang dipegang sejak hari pertama, termasuk penggunaan bahan tempatan dan amalan kelestarian.
“Sisa buah-buahan serta teh daripada proses pengeluaran dihantar untuk dijadikan kompos, manakala pelanggan turut digalakkan memulangkan botol kaca untuk dikitar semula.
“Pada 2019, WonderBrew turut memperoleh pensijilan halal yang bukan sekadar penting untuk pengguna beragama Islam tetapi juga menjadi bukti bahawa keseluruhan proses pengeluaran mematuhi standard kebersihan, keselamatan makanan dan kawalan kualiti yang ketat,” jelasnya. – UTUSAN










