PUTRAJAYA: Selaras dengan komitmen Kerajaan untuk mempercepatkan peralihan tenaga negara serta meningkatkan kapasiti penjanaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) secara berterusan, Kerajaan akan melaksanakan Program Solar Berskala Besar Pusingan Keenam (Large Scale Solar – LSS6).
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan memberitahu, jumlah penawaran kuota di bawah LSS6 adalah sebanyak 2,500 megawatt (MW) solar bersekali dengan sistem penyimpanan tenaga (Battery Energy Storage System – BESS) iaitu 1,250 MW dan 150 MW solar khusus bagi syarikat Bumiputera di Semenanjung Malaysia.
Pelaksanaan LSS6 merupakan kesinambungan kepada kejayaan program LSS terdahulu yang telah memperkukuh pembangunan industri solar tempatan serta menurunkan kos penjanaan elektrik melalui mekanisme bidaan yang telus dan berasaskan pasaran.
Bagi membolehkan penyertaan syarikat di bawah program ini menjadi lebih meluas, LSS6 akan dilaksanakan melalui tiga (3) pakej seperti berikut:
Pakej 1: Pelaksanaan LSS + BESS tender terbuka kepada semua pemaju dengan kapasiti 2,200MW solar dan 1,100MW BESS; Pakej
2: Pelaksanaan LSS + BESS tender terbuka Bumiputera dengan kapasiti 300MW solar dan 150 MW BESS; dan
Pakej 3: Pelaksanaan Solar Bumiputera tanpa BESS dengan kapasiti sebanyak 150MW solar.
Bagi memastikan penawaran kapasiti dilaksanakan secara adil, telus dan berdaya saing, Kerajaan memperkenalkan beberapa penambahbaikan dasar bagi pelaksanaan LSS6 seperti berikut:
- Iaitu tawaran kapasiti bagi setiap pembida ditetapkan antara 60 MW hingga 500 MW bagi pakej 1 dan pakej 2;
- tawaran kapasiti bagi setiap pembida ditetapkan antara 10 MW hingga 30 MW bagi pakej 3;
- pembangunan loji solar berskala besar secara hibrid bersama BESS bagi meningkatkan kestabilan, fleksibiliti serta kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik negara;
- pembida hendaklah mempunyai pengalaman dalam pembangunan projek solar, manakala pengalaman dalam projek BESS tidak diwajibkan;
- pembida yang menggunakan produk TBB seperti modul solar fotovolta (PV) yang dihasilkan secara domestik akan diberikan keutamaan;
- dan tumpuan pembangunan projek akan diberikan di kawasan strategik yang mempunyai pertumbuhan permintaan elektrik yang tinggi, khususnya di wilayah Selatan Semenanjung, bagi mengoptimumkan perancangan penjanaan dan sistem penghantaran elektrik negara.
Program LSS6 dijadualkan untuk mula beroperasi secara berperingkat dengan sasaran tarikh operasi komersial selewat-lewatnya pada 31 Disember 2029.
Pelaksanaan LSS6 dijangka menarik pelaburan swasta sekitar RM13 bilion hingga RM15 bilion, serta mewujudkan sehingga 15,000 hingga 20,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembangunan dan pembinaan projek.
Di samping itu, program ini diunjurkan dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) sekitar 2.6 juta tan setahun, sekali gus menyokong komitmen negara ke arah peralihan tenaga rendah karbon dan pencapaian sasaran pembangunan mampan negara.
Selain itu, program khas bagi pemaju solar Bumiputera akan turut dilaksanakan secara berasingan di bawah Pakej 3 dengan kapasiti sebanyak 150MW. Program ini tidak melibatkan pemasangan BESS dan akan tertumpu kepada kapasiti berskala kecil diantara 10MW hingga 30MW.
Program ini diwujudkan bertujuan menggalakkan penyertaan syarikatsyarikat kecil Bumiputera yang berminat untuk menceburi dan berkecimpung dengan industri tenaga khususnya tenaga boleh baharu.
Pelaksanaan program ini dijangka akan dapat memberikan peluang pelaburan kepada syarikat Bumiputera dengan jumlah hampir RM500 juta.
Dokumen Request for Proposal (RFP) bagi Program Pelaksanaan Solar Bumiputera dan LSS 6 akan dilaksanakan seperti berikut:
Pakej 1 RFP: Pelaksanaan LSS + BESS tender terbuka dengan kapasiti 2,200MW solar dan 1,100MW BESS bermula 27 Julai hingga 7 Ogos 2026;
Pakej 2 RFP: Pelaksanaan LSS + BESS tender terbuka Bumiputera dengan kapasiti 300MW solar dan 150 MW BESS bermula 27 Julai hingga 7 Ogos 2026;
Pakej 3 RFP: Pelaksanaan Solar Bumiputera tanpa BESS dengan kapasiti sebanyak 150MW solar sahaja bermula pada 17 – 28 Ogos 2026.
Dokumen-dokumen RFP boleh dibeli di alamat berikut: Ibu Pejabat Suruhanjaya Tenaga No 12, Jalan Tun Hussein, Presint 2, 62100 Putrajaya.
Selaras dengan memperkukuh teras Kemampanan dari sudut sektor tenaga menerusi konsep Malaysia MADANI, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited dalam memastikan pelaksanaan LSS6 dilaksanakan secara telus, berdaya saing dan memberi manfaat menyeluruh kepada negara terutamanya melalui pembangunan tenaga bersih.










