IMF semak turun unjuran pertumbuhan ekonomi global 2026

IMF semak turun unjuran pertumbuhan ekonomi global 2026 susulan krisis Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi dunia bagi 2026 kepada 3.0 peratus berbanding 3.1 peratus yang dibuat pada April lalu, susulan peningkatan ketidaktentuan dan risiko daripada konflik baharu di Asia Barat.

Unjuran dalam kemas kini Prospek Ekonomi Dunia tersebut dibuat sebelum berlaku pertukaran serangan terbaharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dalam beberapa jam kebelakangan ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Penyelidikan IMF, Petya Koeva Brooks berkata, perkembangan terbaharu itu menunjukkan ketidaktentuan dan risiko yang masih membelenggu prospek ekonomi global.

“Perkembangan semalaman menunjukkan ketidaktentuan dan risiko yang mengelilingi prospek ekonomi. Kami akan memantau perkembangan ini dengan sangat rapat,” katanya kepada pemberita.

Penurunan unjuran itu merupakan kali kedua dilakukan IMF pada tahun ini, selain mencerminkan kelembapan berbanding kadar pertumbuhan pada 2025.

IMF turut menjangka inflasi global meningkat kepada 4.7 peratus tahun ini, lebih tinggi berbanding unjuran sebelumnya.

Koeva berkata, proses pemulihan selepas konflik dijangka berlaku secara berperingkat dalam tempoh kira-kira tiga suku tahun, namun kejutan yang menyebabkan kenaikan harga minyak dan jangkaan inflasi lebih tinggi boleh memberi tekanan tambahan kepada ekonomi dunia.

Walaupun begitu, IMF menyatakan penurunan unjuran pertumbuhan keseluruhan masih sederhana berikutan momentum sektor kecerdasan buatan (AI) yang dipacu permintaan membantu mengimbangi sebahagian kesan konflik.

IMF menjangka pertumbuhan ekonomi global kembali meningkat kepada 3.4 peratus pada 2027.

Ketua Bahagian Penyelidikan IMF, Deniz Igan berkata, pemulihan itu sebagai pemulihan berbentuk “V”, namun kesan konflik terhadap ekonomi dunia masih bergantung kepada tempoh peperangan, gangguan bekalan serta peningkatan kos.

IMF berkata, kesan konflik berbeza mengikut negara, dengan pengeksport tenaga di luar kawasan konflik mendapat manfaat daripada keadaan perdagangan yang lebih baik, manakala ekonomi yang bergantung kepada import tenaga berdepan tekanan lebih besar.

“Sebaliknya, aktiviti ekonomi menjadi lebih lemah bagi negara pengimport tenaga yang mempunyai penyertaan terhad dalam rantaian nilai teknologi,” ujarnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN