DALAM kehidupan moden yang semakin sibuk, kita kini lebih cenderung memilih peralatan rumah yang mampu memudahkan tugasan harian, termasuk kerja pembersihan kediaman.
Antara pilihan yang semakin mendapat perhatian ialah vakum tanpa wayar yang menawarkan gabungan teknologi pintar, prestasi tinggi serta kemudahan penggunaan seperti EvoSonic Ultra Detect Cordless Vacuum daripada PRISM+.
Berbanding vakum konvensional yang bergantung kepada sambungan kabel, peralatan ini menawarkan anda satu kebebasan pergerakan ketika membersihkan rumah menerusi reka bentuk lebih fleksibel dan pelbagai fungsi pintar.
Selepas digunakan dalam rutin pembersihan harian, vakum tanpa wayar ini memberikan anda pengalaman penggunaan yang lebih praktikal, terutama dari segi kemudahan mengakses ruang sempit serta membersihkan pelbagai permukaan.
Harga masih kompetitif
Apabila memilih peralatan elektrik, harga sememangnya menjadi antara faktor utama yang dipertimbangkan setiap orang.
Bagi EvoSonic Ultra Detect Cordless Vacuum, harganya masih berada dalam julat yang kompetitif berbanding beberapa model vakum tanpa wayar premium di pasaran.
Ditawarkan dengan pelbagai ciri pintar serta prestasi sedutan tinggi, vakum ini memberikan nilai yang sepadan dengan harga yang ditawarkan, selain dilengkapi tempoh waranti selama 12 bulan.
Berdasarkan semakan di beberapa platform e-dagang dan media sosial seperti TikTok, harga jualannya berada sekitar RM780 hingga RM1,000, bergantung kepada tawaran promosi.
Hadir dengan teknologi pintar dan kuasa sedutan tinggi, PRISM+ mengetengahkan beberapa ciri yang kini sinonim dengan segmen vakum tanpa wayar premium, termasuk teknologi pengesanan kotoran pintar, pencahayaan habuk lampu diod pemancar cahaya (LED) hijau, paparan digital, pelbagai mod kuasa serta bekas habuk berkapasiti besar.
Dari segi spesifikasi, EvoSonic Ultra Detect dilengkapi motor BLDC berkuasa tinggi 500W dengan kuasa sedutan 38,000Pa.
Ia turut menampilkan ciri Smart Dust Detection, lampu LED untuk mengesan habuk dan jangka hayat bateri sehingga 85 minit, namun ia bergantung pada mod dan tetapan yang digunakan.
Reka bentuknya yang moden turut memberi penekanan kepada aspek kemudahan penggunaan, membolehkan pengguna melakukan kerja pembersihan dengan lebih mudah tanpa kekangan kabel.
Pelbagai fungsi untuk pembersihan lebih menyeluruh
Dari segi fungsi, anda tidak perlu risau kerana EvoSonic Ultra Detect telah dilengkapi beberapa ciri yang membantu meningkatkan kecekapan kerja pembersihan di rumah.
Antara ciri yang menarik perhatian ialah lampu LED hijau terbina dalam yang membantu menyerlahkan habuk halus yang sukar dilihat dengan mata kasar, sekali gus membolehkan anda mengenal pasti kawasan yang masih memerlukan pembersihan.
Seterusnya, ia memiliki teknologi pengesanan kotoran pintar yang membolehkan tahap kekotoran dikenal pasti secara automatik sebelum kuasa sedutan dilaraskan mengikut keperluan. Ini membantu menjadikan proses pembersihan anda lebih cekap.
Ia turut didatangkan dengan beberapa set aksesori seperti Prime atau Pet kit dan berus XL fluffy roller. Anda juga boleh mendapatkan berus AquaMarine untuk cucian lantai kering dan basah.
Bagi anda yang mahukan pembersihan lebih menyeluruh, penggelek Aquamarine basah dan kering membolehkan kerja menyedut habuk serta mencuci lantai dilakukan secara serentak dalam satu laluan.
Selain itu, aksesori PetMaster Brush memberi nilai tambah khususnya kepada pemilik haiwan peliharaan kerana ia membantu menyedut bulu yang gugur ketika proses dandanan, sekali gus mengurangkan pengumpulan bulu di sekitar kediaman.
Sementara itu, EvoLume Crevice Tool yang dilengkapi pencahayaan terbina dalam membantu pengguna membersihkan kawasan sempit seperti celahan perabot dan sudut yang sukar dicapai.
Pelbagai aksesori dan pakej tambahan
Bagi memudahkan anda, EvoSonic Ultra Detect turut menawarkan pelbagai aksesori dan pakej tambahan untuk memenuhi keperluan pembersihan pada harga yang berpatutan, namun harga ini bergantung kepada harga promosi semasa.
Pakej Pet Accessories Set, merangkumi Set Aksesori Teras, PetMaster Brush dan FlexTube, ditawarkan pada harga pelancaran RM79.
Bagi pengguna yang memerlukan lebih banyak aksesori, Prime Accessories Set dijual pada harga RM99, merangkumi Set Aksesori Teras bersama EvoLume Crevice Tool, MiteGuard Fabric Brush dan FeatherPro Dusting Brush.
Sementara itu, Elite Accessories Set ditawarkan pada harga RM249, merangkumi semua aksesori dalam Prime Accessories Set serta AquaMarine Roller Brush untuk fungsi pembersihan basah dan kering.
Bagi aksesori yang dijual secara berasingan, AquaMarine Roller Brush ditawarkan pada harga RM179, manakala pek bateri 500W berkapasiti 4,000mAh dijual pada harga RM139.
Selain itu, PetMaster Brush dan MiteGuard Fabric Brush masing-masing dijual pada harga RM59, manakala EvoLume Crevice Tool dan FeatherPro Dusting Brush ditawarkan pada harga RM49 setiap satu. – UTUSAN










