E&E sumbang hampir separuh eksport dalam lima bulan pertama - Utusan Malaysia

E&E sumbang hampir separuh eksport dalam lima bulan pertama

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Eksport sektor elektrik dan elektronik (E&E) meningkat 39.7 peratus kepada RM382.9 bilion dalam tempoh lima bulan pertama 2026, sekali gus menyumbang 48.2 peratus atau hampir separuh daripada keseluruhan eksport Malaysia.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, disokong pertumbuhan yang menyeluruh dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan

Beliau berkata, momentum pelaburan negara juga kekal kukuh apabila Malaysia merekodkan RM92.8 bilion pelaburan yang diluluskan pada suku pertama tahun ini, dengan lebih 50,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan.

“Angka-angka ini membuktikan daya tahan negara. Namun, ia juga mengingatkan kita tentang tanggungjawab yang perlu dipikul.

“Sektor yang menyumbang hampir separuh daripada eksport negara tidak boleh sekadar menjadi platform pengeluaran sahaja.

“Namun, ia sebaliknya perlu berkembang sebagai platform inovasi yang memacu produktiviti lebih tinggi, gaji lebih baik, syarikat tempatan yang lebih kukuh serta keupayaan teknologi yang lebih mendalam.

“Bagi kerajaan, ini bukan sekadar cita-cita perindustrian, tetapi satu keperluan dalam usaha penstrukturan semula ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama penutup pada Simposium E&E The Edge-HSBC 2026 bertemakan “The Value Chain Shift: Scaling Talent, Capital and Capability Up the Chip Ladder” di Pusat Konvensyen KLGCC.

Mengiktiraf kejayaan lebih lima dekad Malaysia dalam industri semikonduktor, beliau berkata berkata, sektor itu kini perlu menjadi pemangkin kepada pulangan ekonomi yang lebih tinggi.

“Sebagai contoh, kerjasama strategik yang sedang dilaksanakan antara Malaysia dan syarikat gergasi harta intelek (IP) semikonduktor global, Arm memberi tumpuan kepada penyediaan akses terus kepada syarikat tempatan terhadap harta intelek termaju dan platform pengkomputeran.

“Langkah itu mampu mempercepatkan tempoh penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke arah pengkomersialan, selain mengurangkan risiko modal.

“Sehingga kini, sebanyak enam token akses teknologi Arm telah diberikan kepada empat syarikat Malaysia, melibatkan tiga akses Arm Compute Subsystems dan tiga lesen Arm Flexible Access,” katanya.

Kerjasama tersebut turut menyasarkan latihan kepada 10,000 tenaga profesional semikonduktor dalam tempoh empat tahun. Sehingga 3 Julai, seramai 1,530 peserta telah mengikuti latihan di bawah inisiatif itu bagi tahun ini.

Beliau berkata, peralihan industri itu berlaku pada saat ekonomi global dijangka berkembang lebih perlahan sekitar tiga peratus pada 2026 berikutan ketegangan geopolitik, pemecahan perdagangan dan ketidaktentuan dasar.

Katanya, Malaysia kini merupakan antara hab paling dipercayai dalam rantaian bekalan semikonduktor global serta berada di kedudukan pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia, selain menyumbang kira-kira 13 peratus kepada aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan semikonduktor global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN