Dana pelaburan Singapura tambah saham Jentayu Sustainables

Dana pelaburan hijau Singapura tambah saham Jentayu Sustainables

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dana pelaburan hijau yang berpangkalan di Singapura meningkatkan pegangan sahamnya kepada kira-kira 13.06 peratus dalam Jentayu Sustainables Berhad, menjelang pembangunan projek hidroelektrik aliran sungai bernilai RM2.8 bilion di Sipitang, Sabah.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Jentayu Sustainables berkata, memperoleh tambahan sebanyak 22 juta saham biasa dalam Jentayu Sustainables pada 7 Julai 2026, menjadikan dana itu kini memegang 71.1 juta saham biasa, meningkat daripada 49.1 juta saham atau kira-kira 9.018 peratus sebelum ini.

Katanya, pelaburan meneruskan kepentingan strategik yang mula diumumkan oleh syarikat pada 2 Julai 2026.

“PK Green Fund memaklumkan bahawa pelaburannya adalah bersifat strategik dan berorientasikan jangka panjang. 

“Dana itu juga berhasrat untuk menjadi pemegang saham yang konstruktif dengan bekerjasama rapat bersama lembaga pengarah dan pihak pengurusan dalam aspek strategi korporat, tadbir urus serta kemampanan syarikat,” katanya.

Jentayu Sustainables kini menerajui pembangunan Project Oriole, sebuah projek hidroelektrik aliran sungai berkapasiti 162MW bernilai RM2.8 bilion di Sipitang, Sabah. 

Projek itu dimiliki menerusi anak syarikat 70 peratus miliknya, Oriole Hydro Padas Sdn. Bhd. dan merupakan antara pelaburan tenaga boleh baharu swasta terbesar di Sabah.

Project Oriole telah memperoleh Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 40 tahun dengan Sabah Electricity Sdn. Bhd. yang menyediakan jaminan pembelian tenaga untuk tempoh jangka panjang. 

“Apabila siap dan mula beroperasi, projek itu dijangka membekalkan kira-kira 16 peratus daripada permintaan puncak elektrik Sabah.

“Projek berkenaan kini sedang menuju ke arah penutupan kewangan dan selaras dengan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), yang menyasarkan lebih 50 peratus campuran penjanaan tenaga negeri daripada sumber boleh baharu menjelang 2035,” jelasnya.

Jentayu Sustainables yang dahulunya dikenali sebagai Ipmuda Berhad, sedang beralih kepada perniagaan berteraskan tenaga boleh baharu melalui pembangunan aset tenaga hijau di Malaysia, sambil mengekalkan operasi dalam perdagangan bahan binaan dan sektor penjagaan kesihatan.

PK Green Fund pula memberi tumpuan kepada pelaburan dalam sektor berimpak alam sekitar serta sosial, termasuk tenaga boleh baharu di pasaran sedang pesat membangun, dengan matlamat menjana pulangan kewangan jangka panjang di samping menghasilkan impak kemampanan yang boleh diukur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN