Bursa Malaysia dijangka bergerak paras 1,700 mata

Bursa Malaysia dijangka bergerak paras 1,700 mata

FBM KLCI melonjak 1.04 peratus atau 17.22 mata kepada 1,679.05 mata pada Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka meneruskan momentum pemulihannya pada minggu ini dengan menguji paras psikologi 1,700 mata, dipacu oleh sokongan padu institusi domestik serta pemulihan selera risiko global.

Unjuran positif itu menyusul selepas indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menutup tirai dagangan dengan melonjak 1.04 peratus atau 17.22 mata untuk berada pada paras 1,679.05 mata pada Jumaat.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, FBM KLCI mempunyai asas yang kukuh untuk melanjutkan pengukuhan tersebut berdasarkan aliran masuk bersih pelabur tempatan yang ketara pada pertengahan minggu ini.

“FBM KLCI dijangka melanjutkan momentum pemulihannya pada minggu hadapan, disokong oleh lantunan kukuh pada hari Jumaat serta konsistensi belian daripada pelabur institusi tempatan.

“Walaupun ketidakpastian luaran masih wujud, sokongan berterusan institusi domestik ini akan menjadi kuasa pengimbang yang stabil bagi pasaran tempatan serta membantu mengurangkan risiko penurunan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, sentimen global yang semakin baik turut memberikan latar belakang yang kondusif kepada ekuiti serantau termasuk Malaysia, didorong oleh aktiviti memburu saham murah dalam sektor teknologi global, reda ketegangan geopolitik di Asia Barat serta jangkaan pelonggaran dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

“Secara teknikal, kita menjangka FBM KLCI akan cuba menguji paras psikologi 1,700 mata pada minggu ini. Bagaimanapun, untuk memastikan indeks kekal mampan di atas paras penting tersebut, ia memerlukan penyertaan pasaran yang lebih luas, terutamanya daripada saham perbankan berwajaran tinggi.

“Selain itu, kelangsungan sokongan institusi tempatan dan kepulangan semula minat belian asing serta panduan pendapatan korporat yang lebih kukuh akan menjadi pemangkin penting bagi menyokong rali yang lebih bertahan,” katanya.

Mohd. Sedek menambah, penyertaan pasaran berkemungkinan kekal sederhana dengan purata jumlah dagangan harian dijangka berada di bawah paras tiga bilion saham.

“Walau bagaimanapun, keseluruhan sentimen dijangka pulih secara berperingkat dengan tumpuan belian terpilih pada sektor teknologi, pembinaan, utiliti dan berorientasikan eksport.

“Sementara itu, prestasi pada hari Jumaat sebahagian besarnya dipacu oleh kebangkitan semula saham perbankan yang menyaksikan sektor tersebut meningkat lebih daripada satu peratus selepas pelabur menarik lega dengan data buruh AS yang lebih lemah daripada jangkaan,” tambahnya.

Laporan penggajian Jun AS menunjukkan sektor bukan perladangan (NFP) hanya meningkat sebanyak 57,000, jauh di bawah jangkaan pasaran iaitu 113,000, sekali gus meredakan spekulasi bahawa Fed perlu menaikkan lagi kadar faedah dan mendorong pelabur kembali beralih kepada sektor kitaran.

Pada penutupan Jumaat, suasana pasaran secara menyeluruh adalah positif menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 647 berbanding 384, manakala 574 kaunter tidak berubah.

Jumlah dagangan mencatatkan sebanyak 2.83 bilion saham, manakala pulangan sejak awal tahun berada pada kadar -0.06 peratus.

Hala tuju bursa tempatan bagi minggu ini secara keseluruhannya akan terus dipandu oleh konsistensi kemasukan semula dana asing serta unjuran makroekonomi global yang lebih stabil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN