Zetrix AI sasar pacu ekosistem rantaian blok, kecerdasan buatan negara

Zetrix AI sasar pacu ekosistem rantaian blok, kecerdasan buatan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Zetrix AI Berhad (Zetrix AI) komited memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap teknologi global melalui pembangunan ekosistem bersepadu yang menggabungkan teknologi rantaian blok (blockchain) dan kecerdasan buatan (AI).

Langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan yang memberi keutamaan tinggi kepada transformasi digital serta penggunapakai teknologi mutakhir dalam sektor awam dan swasta.

Pengasas Bersama Zetrix, Datuk Fadzli Shah Anuar berkata, Malaysia kini berada di kedudukan strategik iaitu di tangga kedua dalam kalangan negara ASEAN dan ke-23 secara global bagi kesiapsiagaan teknologi.

Menurut beliau, bagi memanfaatkan potensi tersebut, pihaknya memfokuskan kepada tiga teras utama ekosistem digital iaitu infrastruktur, identiti digital dan sokongan aplikasi komersial.

“Rantaian blok dan AI adalah teknologi utama yang akan mengubah cara data diuruskan. Jika rantaian blok menggantikan kaedah penghantaran dan organisasi data secara desentralisasi, AI pula berfungsi mengubah cara data tersebut digunakan secara pintar.

“Bagi memastikan ekosistem ini selamat dan dipercayai, Zetrix AI telah menjalinkan kerjasama strategik dengan MIMOS Berhad, agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membangunkan Infrastruktur Blockchain Nasional.

“Pendekatan infrastruktur berkenaan bertindak sebagai rangka kerja (framework) terbuka yang membolehkan pelbagai rangkaian rantaian blok berintegrasi secara selamat, menyerupai model yang telah dilaksanakan di China dan beberapa negara serantau,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas mengenai teras identiti digital, beliau berkata, Zetrix AI menyokong penuh inisiatif My Digital ID di bawah Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia.

“Sebagai rakan kongsi awal, kami memacu integrasi ini melalui platform rangkaian blok Zetrix yang dibangunkan oleh Zetrix AI Berhad. Kami merupakan perkhidmatan pihak ketiga swasta pertama yang membolehkan pengguna log masuk menggunakan My Digital ID, malah mendahului beberapa agensi kerajaan lain. Ini membuktikan sektor swasta mampu bergerak lebih tangkas,” katanya.

Dari segi sokongan aplikasi dan perluasan pasaran, Zetrix AI turut bekerjasama dengan kerajaan China untuk menubuhkan ASEAN China AI Lab di Kuala Lumpur serta ASEAN China AI Lab di Jakarta. 

Kemudahan tersebut berfungsi sebagai pusat pembangunan dan bimbingan untuk membantu syarikat tempatan melakukan lokalisasi teknologi AI mengikut acuan pasaran domestik.

Tambahnya, antara trend global terbesar yang bakal mengubah landskap pasaran masa depan ialah fenomena ‘Perusahaan Satu Orang’ (One-Person Enterprise) yang kini berkembang pesat di China.

“Masa depan akan menyaksikan senario di mana seorang individu atau generasi muda mampu mengendalikan perniagaan berskala besar hanya dengan menguruskan sekitar 20 ejen AI khusus yang bertindak sebagai ‘pekerja’ dalam bidang pemasaran, khidmat pelanggan dan ujian produk.

“Bagi memperkukuh ekosistem pembayaran digital berasaskan rantaian blok, kami bekerjasama dengan Bullish AIM Sdn. Bhd. untuk memperkenalkan JMYR, sebuah mata wang stabil (stablecoin) yang nilainya ditambat 1:1 dengan Ringgit Malaysia.

“Ia bukan aset spekulatif, tetapi penyelesaian pembayaran digital bagi membolehkan pengguna melakukan transaksi dalam talian secara selamat tanpa perlu mengakses akaun bank tradisional pengguna,” tambah beliau.

Bagaimanapun, beliau mengakui negara masih berdepan cabaran kekurangan bakat tempatan yang sedia ada dalam sektor teknologi Web3 dan aset digital, sekali gus memaksa industri bergantung kepada kepakaran luar negara buat masa ini.

Namun, beliau percaya rantaian bakat domestik mampu dibentuk secara berperingkat melalui pemindahan teknologi daripada rakan industri antarabangsa.

Mengulas prospek syarikat, beliau berkata, penembusan teknologi AI dan rantaian blok ke dalam kehidupan harian adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan, sama ada pasaran tempatan bersedia atau tidak.

“Justeru, Zetrix AI memilih untuk tidak memfokuskan kepada aplikasi bersemuka pengguna (consumer-facing), sebaliknya menumpukan kepada pembinaan infrastruktur belakang tabir yang kompleks melalui kerjasama rapat dengan organisasi dalam rangkaian nilai seperti Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF).

“Teknologi ini akan menyerap masuk ke dalam kehidupan masyarakat secara intuitif, seumpama konsep mini apps yang terdapat dalam pelbagai aplikasi e-dompet di pasaran. Pengguna akan menggunakannya secara semula jadi untuk memudahkan urusan harian tanpa perlu menyedari kerumitan teknologi di belakangnya,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN