PETALING JAYA: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) mengesan penyalahgunaan kod QR DuitNow yang dikaitkan dengan produk-produk wakafnya oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi memperdaya orang awam membuat transaksi kewangan ke akaun yang bukan milik yayasan itu.
Yayasan berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kegiatan tersebut dan memandang serius perkara berkenaan kerana ia boleh menjejaskan kepentingan pewakaf serta orang awam.
“YWM ingin menasihatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada serta tidak terburu-buru dalam membuat sebarang transaksi kewangan yang melibatkan pewakafan.
“Setiap transaksi hendaklah disemak dan dipastikan terlebih dahulu bahawa nama penerima yang dipaparkan adalah Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) sebelum pembayaran disahkan.
Menurutnya, antara langkah keselamatan yang disarankan ialah memastikan nombor akaun dan nama penerima yang dipaparkan semasa transaksi adalah atas nama Yayasan Waqaf Malaysia atau produk wakaf rasmi YWM.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak meneruskan pembayaran sekiranya nama penerima yang tertera tidak sepadan dengan nama rasmi YWM atau mana-mana produk wakaf yang dikendalikan yayasan itu.
“Orang ramai diingatkan agar tidak mengimbas kod QR DuitNow yang diterima daripada sumber yang tidak sah atau meragukan serta mendapatkan pengesahan melalui saluran rasmi YWM sekiranya terdapat sebarang keraguan sebelum membuat transaksi.
“YWM menegaskan bahawa semua transaksi pewakafan hendaklah dibuat melalui saluran rasmi yang disediakan bagi memastikan sumbangan sampai kepada penerima yang sah dan digunakan untuk tujuan wakaf yang ditetapkan.
“YWM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan identiti, penyelewengan atau penipuan yang menggunakan nama dan reputasi institusi ini,” ujarnya.
Tambahnya, orang ramai yang mengesyaki wujud unsur penipuan atau mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan kod QR DuitNow yang menggunakan nama YWM diminta segera membuat laporan kepada pihak berkuasa serta memaklumkan perkara itu kepada YWM.
Jelasnya, sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian telefon 03-8871 0800, WhatsApp rasmi YWM di 019-2007481 atau e-mel di [email protected]. – UTUSAN










