PETALING JAYA: Keupayaan mendapatkan bekalan elektrik tambahan dikenal pasti sebagai antara cabaran utama yang perlu ditangani segera oleh YTL Power International Berhad dalam usaha merealisasikan sasaran pengembangan agresif pusat data (DC) sehingga kapasiti 2.4 gigawatt (GW), menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, selain isu bekalan elektrik, syarikat juga memerlukan perbelanjaan modal yang besar bagi membangunkan pusat data generasi baharu, termasuk pembinaan lebih banyak stesen pendaratan kabel (CLS).
Katanya, pelaburan tersebut penting bagi memastikan kemudahan sedia ada mampu memenuhi permintaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang semakin memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi.
“Walaupun berdepan cabaran itu, firma berkenaan mengekalkan saranan “beli” terhadap saham YTL Power dengan harga sasaran (TP) RM5.65 sesaham, berikutan keyakinan bahawa segmen pusat data akan menjadi pemacu pertumbuhan baharu syarikat,” katanya.
MBSB Research berkata, saham YTL Power yang diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) unjuran tahun kewangan 2027 sebanyak 16.3 kali masih menawarkan peluang pelaburan yang menarik.
Firma penyelidikan itu berkata, pembangunan di Taman DC Hijau YTL Power di Kulai, Johor menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dengan pelbagai aktiviti pembinaan sedang giat dijalankan.
Sehingga kini, empat pusat data telah beroperasi, sebuah lagi berada dalam fasa ujian, manakala dua lagi sedang dibina. Setakat suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), kapasiti operasi meningkat kepada 150 megawatt (MW) berbanding 110MW pada suku sebelumnya.
Jumlah kapasiti yang telah diperoleh kini mencecah 298MW, dengan YTL Power menjangkakan sebanyak 288MW akan siap menjelang tahun kewangan 2027, manakala baki 10MW dijangka diserahkan pada tahun kewangan 2028.
Selain itu, syarikat merancang menggandakan kapasiti pusat data di Kulai daripada 600MW kepada 1.2GW. Langkah tersebut memerlukan pembinaan CLS baharu kerana kemudahan sedia ada hampir mencapai had maksimum.
Daripada keseluruhan kawasan seluas 664 hektar di Kulai, kira-kira 101 hektar telah diperuntukkan bagi pembangunan pusat data, manakala baki kawasan akan dimanfaatkan untuk projek tenaga solar.
Di luar Johor, YTL Power turut merancang membangunkan pusat data berkapasiti 70MW di Cyberjaya serta berpotensi menambah sehingga 1,000MW lagi di Lembah Klang, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pusat data yang berkembang pesat.-UTUSAN










