PETALING JAYA: Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) mencatat lonjakan untung bersih sebanyak RM80.9 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026, berbanding RM34.7 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia itu berkata, syarikat merekodkan peningkatan pendapatan sebanyak RM1.09 bilion pada suku sama berbanding RM830 juta pada suku sama 2025.
Bagi sembilan bulan pertama, kumpulan melaporkan untung bersih sebanyak RM150.33 juta daripada RM70.51 juta, manakala pendapatan tumbuh 15 peratus kepada RM3.0 bilion.
Syarikat juga mencatatkan peningkatan volum jualan sebanyak 34 peratus bagi tempoh yang sama.
Kumpulan berkata, prestasi tersebut disumbangkan oleh pengurusan bahan mentah yang berhemat, khususnya dalam memastikan bekalan lateks nitril yang stabil di tengah-tengah gangguan bekalan, yang membolehkan kelangsungan pengeluaran sarung tangan tanpa gangguan serta pemenuhan pesanan pelanggan yang boleh dipercayai.
Tambahnya, restasi ini turut disokong oleh pelarasan tepat pada masanya terhadap purata harga jualan (ASP) selaras dengan peningkatan kos bahan mentah.
Selain itu, penambahbaikan operasi yang berterusan dalam kualiti produk dan kecekapan kos, ditambah dengan kadar penggunaan yang tinggi, telah mendorong kepada peningkatan margin.
Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata, inisiatif penambahbaikan berterusan dalam aspek kualiti dan pengurusan kos meletakkan syarikat dalam kedudukan yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi perubahan keadaan pasaran
“Kami menghargai sokongan berterusan daripada pelanggan sepanjang tempoh ini, di samping kerjasama erat pasukan dengan para pembekal dan usaha perolehan yang proaktif, sekali gus membantu memastikan pengeluaran dan penghantaran sarung tangan berjalan tanpa gangguan,” katanya dalam kenyataan.
Top Glove berkata, ketersediaan bahan mentah lateks nitril telah kembali stabil setakat Jun 2026, walaupun landskap perniagaan masih kekal dinamik.
“Kumpulan terus mendapat manfaat daripada rangkaian pembekal yang pelbagai merentasi beberapa negara, yang memberikan daya tahan dalam perolehan bahan mentah serta memastikan kesinambungan bekalan.
“Pada masa sama, Top Glove mengekalkan hubungan rapat dengan pelanggan bagi memaklumkan perkembangan terkini kepada mereka serta bekerjasama dalam mengurus bekalan bahan mentah, sekali gus menyokong ketersediaan sarung tangan yang berterusan,” jelasnya. – UTUSAN










