PETALING JAYA: Syarikat teknologi digital, Systech Bhd. mencadangkan pengurangan modal saham sebanyak RM40 juta serta penjenamaan semula syarikat kepada WTS Capital Berhad sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuh kedudukan kewangan dan mempercepat transformasi strategik kumpulan.
Syarikat itu memaklumkan, cadangan pengurangan modal saham di bawah Seksyen 117 Akta Syarikat 2016 bertujuan menghapuskan kerugian terkumpul melalui pembatalan sebahagian modal saham terbitan yang tidak lagi diwakili oleh aset tersedia.
Berdasarkan penyata kewangan tidak diaudit setakat 31 Mac 2026, langkah itu dijangka menukar kerugian terkumpul kepada pendapatan tertahan positif kira-kira RM3.07 juta di peringkat kumpulan selepas mengambil kira anggaran kos pelaksanaan.
Menurut Systech, cadangan tersebut hanya melibatkan pelarasan perakaunan dan tidak akan memberi kesan terhadap harga saham, bilangan saham terbitan, pegangan pemegang saham, aset bersih mahupun kedudukan tunai syarikat, selain kos berkaitan pelaksanaan.
Malah, ia juga tidak menjejaskan harga pelaksanaan atau hak Waran A yang masih belum dilaksanakan.
Dalam perkembangan sama, syarikat turut mencadangkan pertukaran nama kepada WTS Capital Berhad bagi mencerminkan hala tuju baharu kumpulan yang kini memberi tumpuan kepada penyelesaian teknologi digital bernilai tinggi.
Perubahan identiti korporat itu sejajar dengan pengembangan perniagaan syarikat dalam bidang kecerdasan buatan (AI), perancangan sumber perusahaan (ERP), pengurusan modal insan (HCM), Internet Benda (IoT), infrastruktur digital serta penyelesaian berasaskan teknologi.
Pengarah Urusan Systech Bhd., Dr. Low Min Yew berkata, kedua-dua cadangan tersebut merupakan satu lagi pencapaian penting dalam pelaksanaan pelan transformasi syarikat.
“Selepas mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan pada tahun kewangan 2026, kami kini mengambil langkah untuk mengukuhkan asas kewangan kumpulan di samping memastikan identiti korporat lebih selari dengan arah tuju perniagaan.
“Pengurangan modal yang dicadangkan membolehkan kami menghapuskan kerugian terkumpul dan memulihkan kedudukan pendapatan tertahan kepada paras positif tanpa menjejaskan kepentingan pemegang saham atau kedudukan tunai syarikat.
“Kedudukan kewangan yang lebih kukuh itu dijangka meningkatkan keyakinan pembiaya, pelanggan, pembekal dan pelabur selain menyokong usaha syarikat meneroka peluang pertumbuhan baharu,” katanya.
Mengulas cadangan penukaran nama, Min Yew berkata, identiti baharu WTS Capital Berhad melambangkan evolusi syarikat sebagai kumpulan teknologi yang dipacu inovasi serta mencerminkan visi jangka panjang dalam memperluaskan perniagaan AI, transformasi digital dan penyelesaian perusahaan.
Cadangan pengurangan modal akan membolehkan kunci kira-kira syarikat menggambarkan nilai aset dengan lebih tepat, selain menyediakan fleksibiliti lebih besar bagi melaksanakan inisiatif pembiayaan, latihan korporat dan peluang perniagaan pada masa hadapan.
Kedua-dua cadangan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung akan datang.
Sekiranya semua kelulusan diperoleh, cadangan pengurangan modal dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2026, manakala pertukaran nama akan berkuat kuasa selepas Notis Pendaftaran Nama Baharu dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.-UTUSAN










