KUALA LUMPUR: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) membantu 75 usahawan memperoleh pensijilan halal serta menyalurkan geran berkaitan halal berjumlah RM7 juta kepada kira-kira 137 usahawan setakat tahun ini.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada inisiatif SME Bank dalam menyokong pertumbuhan perniagaan, memperluas akses pasaran serta memperkukuh pembangunan ekosistem usahawan tempatan.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, pihaknya terus memperkukuh ekosistem halal negara menerusi Pelan Hala Tuju Halal Lima Tahun 2025 hingga 2029.
Menurut beliau, sehingga April 2026, portfolio pembiayaan sektor halal SME Bank telah melebihi RM2 bilion, mewakili lebih 20 peratus daripada keseluruhan portfolio pembiayaan bank berkenaan.
“Pembiayaan ini digunakan untuk membantu perniagaan mendapatkan mesin, pensijilan ISO dan sijil halal, selain turut merangkumi bimbingan serta sokongan lain.
“SME Bank komited menyediakan sokongan menyeluruh bagi membantu perniagaan berkembang secara mampan dan berdaya tahan,” katanya pada Majlis Graduasi ITEKAD ISHRAF 4.0 SME Bank baru-baru ini.
Beliau berkata, selaras dengan aspirasi Kerangka Ekonomi Madani dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030, SME Bank terus memperkukuh produktiviti, daya saing serta akses pasaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pelbagai inisiatif pembangunan bersasar.
Jelasnya, sebagai pelengkap kepada program ITEKAD ISHRAF, bank itu terus memperkukuh ekosistem keusahawanan halal negara melalui penyelesaian pembiayaan bersepadu serta mekanisme sokongan bukan pembiayaan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan, peluasan pasaran dan kesiapsiagaan eksport merentasi keseluruhan rantaian nilai halal.
“Usaha ini diperkasakan lagi melalui mandat SME Bank di bawah Belanjawan 2026 untuk menggerakkan Program Pembiayaan HalalBiz.
“Ia selaras dengan pelaksanaan inisiatif pembangunan kapasiti seperti Business Exports Programme, Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan Vendor serta Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, SME Bank turut mempunyai pasukan syariah dan halal bertauliah bagi membantu syarikat dalam proses pematuhan serta pensijilan halal.
“Bagi sasaran masa depan, kami belum menetapkan angka khusus, namun menyasarkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Selain itu, SME Bank sedang meneliti produk baharu termasuk pembiayaan yang dapat membantu syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa kerana kami melihat potensi besar untuk pengembangan perniagaan ke luar negara,” katanya.
Sebelum ini, SME Bank telah memperkasa hampir 1,000 usahawan asnaf di seluruh negara, menjana pendapatan kira-kira RM40 juta serta mewujudkan 410 peluang pekerjaan menerusi program SME Bank ITEKAD ISHRAF sejak 2020.
Program di bawah rangka kerja kewangan sosial iTEKAD Bank Negara Malaysia (BNM) itu dilaksanakan bagi memperluas akses ekonomi serta memperkukuh keusahawanan dalam kalangan asnaf dan komuniti kurang mendapat akses kewangan. – UTUSAN










