KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi akan memulakan proses penelitian dan saringan permohonan projek daripada semua kementerian bermula bulan hadapan bagi persediaan awal merangka Belanjawan 2027 yang dijangka menjadi antara belanjawan paling mencabar buat negara.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, persediaan rapi menerusi proses libat urus yang mendalam adalah sangat kritikal bagi memastikan pengurusan perbelanjaan pembangunan negara kekal berstruktur di sebalik cabaran krisis ekonomi global yang sedang dihadapi ketika ini.
Menurutnya, setakat ini semua kementerian telah pun mengemukakan cadangan perancangan pembangunan masing-masing bagi 2027 untuk diteliti oleh pihak kementeriannya.
“Kita akui tahun ini adalah tahun di mana kita perlu menguruskan ekonomi dalam keadaan krisis. Maka sebab itu, bagi persediaan 2027, sudah pasti di peringkat Kementerian Ekonomi kita melihat dengan sangat teliti daripada sudut peruntukan pembangunan.
“Kerajaan bagaimanapun tetap komited dengan kerangka pelan lima tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang mensasarkan jumlah keseluruhan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM611 bilion.
“Namun, bagaimana kita menguruskan keutamaan serta ketersediaan sesuatu program atau projek itu, ia memang akan bergantung kepada faktor pengurusan krisis semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi forum Mengharungi Ketidaktentuan Luaran, Memperkukuh Daya Tahan pada program Invest Malaysia Kuala Lumpur 2026, hari ini.
Tambah beliau, penelitian berstruktur itu penting bagi membolehkan pasaran tempatan mencapai tahap kompleksiti ekonomi yang lebih baik selain memastikan pengurusan defisit fiskal negara kekal terkawal.
“Kerajaan meletakkan fokus utama untuk memacu industri berprofil tinggi ke tahap rantaian nilai yang lebih tinggi, seperti melonjakkan industri semikonduktor sedia ada daripada kepakaran pembungkusan dan pengujian kepada pembungkusan lanjutan serta reka bentuk litar bersepadu,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, aspek kelestarian di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) demi mengekalkan pelaburan asing serta penyediaan infrastruktur mitigasi banjir turut diberi penekanan, di samping usaha membina daya tahan masyarakat bagi mendepani cabaran sekuriti makanan global untuk melindungi rakyat.
“Bagi memastikan sasaran RMK13 dipantau dengan cekap, penggunaan aplikasi digital khusus iaitu myRMK bermula tahun ini akan digunakan untuk menjejaki prestasi pelaksanaan setiap kementerian, dengan laporan pertama dijangka dikeluarkan menjelang Ogos depan,” katanya. – UTUSAN










