Samtai YAMCH’A kembangkan menu organik ke francais

Samtai YAMCH’A kembangkan menu organik ke francais

FARID Hamidin (kiri) bersama Rahim Sepahtu (tengah) dan Pengurus Pematuhan Halal Samtai YAMCH’A, Hani Omas, Hani Omas ketika ditemui Utusan Malaysia di premis berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN berani mempertaruhkan konsep makanan tradisional masyarakat Cina yang digabungkan dengan standard bahan mentah organik bukan sahaja membuka lembaran baharu buat Samtai YAMCH’A, malah menjadi asas kukuh kepada penubuhan sebuah empayar restoran kasual yang kian berkembang pesat.

Semenjak ditubuhkan pada 2017, jenama makanan dan minuman (F&B) tempatan ini membuktikan keupayaannya untuk bersaing apabila kini berjaya mengukuhkan kedudukan menerusi rangkaian tujuh buah cawangan di sekitar Lembah Klang, termasuk cawangan ikonik di Genting Highlands dan Seremban 2.

Keunikan Samtai YAMCH’A tidak sekadar terletak pada kepelbagaian menu yang ditawarkan, sebaliknya didorong oleh nilai tambah yang jarang diterokai pengusaha lain iaitu pemilikan ladang organik sendiri di Elmina dan Bandar Utama.

Pengurus Operasi Samtai YAMCH’A, Farid Hamidin berkata, pemilikan ladang tersebut membolehkan pihaknya mengawal rantaian bekalan bagi memastikan sayur-sayuran dan bunga telang yang dihidangkan kepada pelanggan adalah bebas daripada penggunaan racun perosak.

“Kami mahu menyajikan sesuatu yang lebih sihat. Apabila sayur-sayuran diambil terus dari ladang sendiri, kualitinya terjamin dan pelanggan boleh merasai kesegarannya di dalam setiap hidangan.

“Langkah awal kami bermula apabila melihat potensi besar makanan berkonsepkan Chinese-style seperti dim sum dan mi tarik untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Selepas kami sendiri mencubanya dan yakin dengan kelazatan hidangan ini, kami komited untuk mengembangkannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Farid berkata, pencapaian Samtai YAMCH’A sepanjang tempoh tiga tahun ini juga tidak lari daripada sokongan dan komitmen tidak berbelah bahagi daripada pihak pengurusan tertinggi syarikat. 

Katanya, dalam memperkukuh kedudukan perniagaan agar terus relevan, usahawan baharu dalam industri F&B perlu mempunyai sistem pengurusan yang mantap serta rantaian pembekal yang jelas sejak hari pertama operasi bermula.

“Jangan tunggu perniagaan sudah berkembang besar baru kita mahu menyusun sistem dan operasi. Sistem pengurusan stok, kawalan kualiti dan latihan kakitangan perlu berjalan seiring sejak peringkat awal.

“Melalui sistem yang kemas, perjalanan operasi di setiap cawangan akan menjadi lebih mudah, sekali gua membuka ruang yang lebih luas untuk jenama tempatan seperti ini pergi jauh dalam pasaran francais,” katanya.

Menyoroti keistimewaan jenama itu, Pengarah Syarikat, Rahim Mat Ali berkata, kelebihan mengekalkan kualiti makanan berupaya membina kepercayaan yang tinggi bukan sahaja dalam kalangan warga tempatan, malah menarik minat golongan pelancong dari luar negara.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Rahim Sepathu berkata, perniagaan ini berkembang secara organik melalui saranan dari mulut ke mulut apabila kualiti hidangan sentiasa diletakkan sebagai keutamaan paling tinggi.

“Bagi kami, perniagaan makanan adalah sebuah amanah yang besar. Komitmen kami terhadap kualiti bermula dari peringkat penyediaan bahan mentah sehinggalah makanan itu dihidangkan di atas meja. Kita tidak boleh berkompromi dalam aspek ini jika mahu membina sebuah jenama yang diyakini,” katanya. 

Mengulas mengenai hala tuju masa hadapan, Rahim berkata, Samtai YAMCH’A kini telah menubuhkan sebuah jabatan francais khas bagi menguruskan permintaan luar biasa daripada pelabur yang berminat untuk menerokai jenama itu ke pasaran luar Lembah Klang.

Katanya, langkah strategik tersebut diambil bagi menjawab permintaan tinggi daripada pelanggan setia, termasuk yang datang dari Sabah dan Sarawak, yang mahukan konsep restoran santai dan inklusif itu dibawa ke sana.

Dalam pada itu, jenama ini turut membuka peluang keemasan kepada mana-mana usahawan atau bakal peniaga yang ingin memiliki perniagaan restoran sendiri melalui sistem francais di bawah Samtai YAMCH’A dengan pakej model perniagaan yang mampu milik serta mesra usahawan baharu.

“Sistem francais kami dibina untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang merasai pengalaman menguruskan perniagaan makanan yang sudah mempunyai sistem yang matang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN