Redmagic 11S Pro tampil dengan prestasi gaming ekstrem 

Redmagic 11S Pro tampil dengan prestasi gaming ekstrem 

REDMAGIC 11S Pro dikuasakan oleh cip pemprosesan Versi Utama Snapdragon 8 Elite Gen 5.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REDMAGIC baru sahaja melancarkan ‘raksasa’ terbaharu mereka iaitu Redmagic 11S Pro pada minggu lalu.

Telefon pintar ‘flagship’ ini bukan sekadar peranti biasa kerana ia dikuasakan oleh cip pemprosesan paling berkuasa setakat ini iaitu Versi Utama Snapdragon 8 Elite Gen 5.

Jika dibandingkan dengan model 10S Pro sebelum ini, prestasi unit pemprosesan pusat (CPU) ia meningkat sehingga 19 peratus, grafik unit pemrosesan grafik (GPU) 24 peratus lebih padu dan keupayaan kecerdasan buatan (AI) melonjak sebanyak 39 peratus. 

Tidak cukup dengan itu, telefon itu turut menambah cip khas RedCore R4 yang bertugas untuk memastikan semua kesan visual, audio dan maklum balas haptik berjalan dengan sangat lancar tanpa sebarang kompromi.

Satu perkara yang paling gempak tentang Redmagic 11S Pro ini semestinya sistem penyejukan AquaCore miliknya. 

Bayangkan, mereka berjaya memasukkan teknologi penyejukan cecair terfluorinasi gred pelayan AI terus ke dalam telefon pintar ini. 

Cecair penyejuk ini mengalir menerusi saluran mikro yang dikawal oleh pam seramik dan  sebenarnya boleh nampak sistem ini berfungsi dari luar berkat rekaan panel belakangnya yang lutsinar berserta lampu RGB dinamik. 

Ditambah pula dengan kipas Turbo berkuasa 24,000 RPM dan kebuk wap bersaiz gergasi 13,116mm persegi, haba dapat diagihkan 50 peratus lebih pantas, membuatkan peranti sentiasa sejuk walaupun tengah lanyak main game dengan grafik yang berat.

Bab paparan pun mereka tak main-main kerana model kali ini tampil dengan skrin BOE X10 resolusi tinggi generasi baharu. 

Peminat akan dapat pengalaman skrin penuh yang sebenar tanpa ada sebarang takuk atau lubang kamera depan yang menyemak pandangan.

Dengan kadar segar semula 144Hz, kecerahan memuncak sehingga 1,800 nits dan penggunaan cip sentuhan Synaptics 3910v, pergerakan jari di atas skrin memang sangat tajam pantas. 

Pengalaman bermain game kompetitif seperti berbalas tembakan juga terasa lebih syok dengan adanya butang trigger bahu 520Hz yang sangat reponsif. 

Kalau nak buka kunci skrin, ia hanya mengambil masa sekelip mata menggunakan sensor cap jari ultrasonik 3D pantas yang terbina di sebalik skrin.

Walaupun reka bentuknya nipis dan leper tanpa sebarang benjolan kamera yang menjengkelkan di bahagian belakang, Redmagic berjaya menyumbat bateri kapasiti gergasi 7,500mAh ke dalam peranti ini. 

Lebih menarik, ia menyokong pengecasan tanpa wayar ultra pantas 80W dan boleh bertukar menjadi ‘powerbank’ dengan ciri pengecasan terbalik untuk mengecas aksesori atau telefon lain. 

Kelengkapan kameranya juga memuaskan untuk kegunaan harian dengan kamera utama 50MP yang disokong penstabilan imej optikal (OIS) berserta kamera ultra-lebar 50MP, manakala, kamera hadapan 16MP disembunyikan dengan kemas di bawah paparan skrin untuk fungsi swafoto.

Pengalaman penggunaan setiap hari turut direvolusikan dengan REDMAGIC OS 11.5 yang berasaskan Android 16. 

Selain fungsi gaming khusus melalui Pusat Gaming X-Gravity, telefon pintar ini dipadukan dengan teknologi Google Gemini AI yang membuatkan segalanya lebih mudah. 

Peminat boleh menggunakan ciri pintar seperti Circle to Search untuk mencari maklumat pantas, terjemahan masa nyata dan bantuan suntingan gambar dengan lebih efisien sambil menikmati sambungan internet lancar menerusi rekaan antena 360 darjah.

Terdapat beberapa varian menarik mengikut keperluan spesifikasi.

Bagi versi Nightfreeze dengan paduan 12GB RAM dan 256GB, ia ditawarkan pada harga RM3,799. 

Kalau perlukan spesifikasi paling maksimum, model Nightfreeze atau Subzero dengan kapasiti 16GB RAM dan 512GB memori pula berharga RM4,499. 

Paling menguntungkan, setiap pembelian akan menerima hadiah percuma berupa REDMAGIC Cyber Gamepad yang bernilai RM499. 

Anda boleh dapatkan telefon ini terus dari laman web rasmi REDMAGIC, atau menerusi kedai rasmi mereka di platform Shopee dan TikTok Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN