Perusahaan dobi buahkan hasil pada pasangan suami isteri

The Buih Laundry jadi sumber rezeki pasangan suami isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka, langkah berani pasangan suami isteri dari Taman Seri Intan, Arau, Perlis menceburi perusahaan dobi berjaya membuahkan hasil dengan pendapatan mampu mencecah puluhan ribu sebulan.

Perusahaan dobi moden itu telah diusahakan Azzad Othman, 43, dan Siti Nur Shakira Mohamad Shamsi, 37, sejak 11 tahun lalu. 

Pasangan itu mengambil langkah berani menubuhkan The Buih Laundry terletak di lot niaga Majlis Perbandaran Kangar (MPK) cawangan Arau, Jalan Pauh, di sini, biar pun tidak mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan dobi semasa peringkat awal. 

Usaha mereka ternyata membuahkan hasil apabila perkhidmatan ditawarkan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai khususnya penduduk setempat. 

Selain mempunyai kemudahan mesin basuh dan pengering, Azzad dan Siti Nur Shakira turut mengaplikasi penggunaan teknologi dalam perkhidmatan ditawarkan mereka agar selari dengan perkembangan dunia masa kini. 

Azzad yang merupakan pengasas The Buih Laundry berkata, dia bersama isteri mula mengusahakan perkhidmatan itu sejak 2015 hasil minat mendalam dalam bidang berkenaan. 

“Perniagaan ini tercetus daripada minat mendalam kami dalam industri dobi ini khusus bagi menyediakan perkhidmatan yang sistematik, selesa dan mesra kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Azzad berkata, semasa peringkat awal penubuhan, mereka berdua sememangnya berdepan pelbagai cabaran dalam mengusahakan perkhidmatan itu antaranya disebabkan modal terhad dan kurangnya pengetahuan berkaitan industri tersebut. 

Dalam masa sama katanya, mereka juga sukar membina rangkaian perniagaan termasuklah dengan persaingan sengit pengendali dobi sedia ada. 

“Namun begitu, kami tawakal dan berusaha hadapi semuanya. Malah, semua cabaran ini juga tidak menghalang kami untuk terus maju dalam mengembangkan lagi perusahaan ini,” katanya. 

Azzad berkata, buat masa ini, mereka mempunyai sebuah cawangan dengan menyediakan sembilan kemudahan mesin basuh, dua mesin pengering kecil (single pocket) dan tiga mesin pengering besar (double pocket). 

Katanya, mesin-mesin ini turut diselenggara secara berkala bagi memastikan prestasi optimum dan kepuasan pelanggan sentiasa terjamin. 

“Selain itu, kami turut menawarkan pelbagai pilihan perkhidmatan lain antaranya pakej lengkap basuh dan kering, servis basuh sahaja, pengeringan dan perkhidmatan seterika. 

“Malah, terdapat juga servis drop off: wash & go di mana pelanggan hanya perlu menghantar pakaian dan pekerja kami akan uruskan keseluruhan proses. Apabila siap, pelanggan akan dihubungi bersama invois sebelum mengambil pakaian mereka. 

“Servis ini sememangnya mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan khususnya bagi golongan yang sibuk bekerja,” katanya. 

Sementara itu, Siti Nur Shakira yang juga Pengurus Operasi The Buih Laundry berkata, dalam tempoh sebulan, mereka mampu meraih pendapatan kasar sekitar kira-kira RM30,000. 

Katanya, kebanyakan pelanggan mereka juga adalah penduduk setempat di kawasan berkenaan termasuk golongan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) berhampiran. 

“Sambutan diterima juga amat baik dan ketika ini, kami mempunyai tiga pekerja sepenuh masa bersama seorang pekerja separuh masa bagi membantu menguruskan perusahaan ini,” katanya. 

Siti Nur Shakira berkata, mereka turut menggunakan platform khas yang dibangunkan bagi memudahkan operasi dobi itu khususnya membabitkan pengurusan transaksi dan rekod pelanggan. 

Katanya, selain itu, terdapat juga sistem ganjaran secara digital ditawarkan dalam meningkatkan kepuasan dan kesetiaan pelanggan mereka. 

“Pada tahun ini, kami juga akan memperkenalkan servis Clothes Refreshner & Sanitize menggunakan teknologi LG Styler yang merupakan inovasi terbaru dalam penjagaan pakaian moden. Untuk tahun depan, kami mensasarkan membuka cawangan baharu dalam memperluaskan lagi perkhidmatan ditawarkan ini ke seluruh negeri,” katanya. 

Menurut Siti Nur Shakira, The Buih Laundry juga bukan hanya sekadar perniagaan berorientasikan keuntungan semata-mata namun turut memberi sumbangan kembali buat komuniti. 

Katanya, sepanjang tempoh operasi, mereka telah membukti komitmen terhadap masyarakat menerusi beberapa inisiatif antaranya seperti sokongan buat pelajar, bantuan Covid-19 dan menawarkan harga istimewa buat surau serta masjid. 

“Kami percaya operasi dijalankan ini bukan sekadar perniagaan perkhidmatan, namun memainkan peranan penting dalam membantu memudahkan kehidupan masyarakat setempat,” katanya. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN