Perdagangan Mei catat pertumbuhan terpantas dalam 44 bulan - Utusan Malaysia

Perdagangan Mei catat pertumbuhan terpantas dalam 44 bulan

PERDAGANGAN Malaysia catat pertumbuhan terpantas dalam 44 bulan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Momentum dagangan luar Malaysia terus merekodkan prestasi luar biasa apabila mencatatkan pertumbuhan terpantas dalam tempoh 44 bulan bagi Mei 2026, dipacu oleh superkitaran kecerdasan buatan (AI) yang merancakkan permintaan pasaran global.

Prestasi memberi kesan positif itu menyaksikan nilai perdagangan negara bagi bulan dikaji berkembang 29.8 peratus tahun ke tahun kepada RM327.63 bilion.

Nilai eksport bulanan negara turut memecah rekod tertinggi baharu dalam sejarah apabila melonjak 45.3 peratus kepada RM184 bilion, sekali gus mengekalkan trajektori peningkatan bagi tempoh 11 bulan berturut-turut serta menjadi pertumbuhan eksport terpantas sejak Ogos 2022.

Sementara itu, import pula meningkat pada kadar yang lebih sederhana sebanyak 14.1 peratus kepada RM143.62 bilion.

Lebihan dagangan pula mencatatkan pengembangan kepada RM40.38 bilion sekali gus menjadi rekod bulanan tertinggi setakat ini, sekali gus menyaksikan Malaysia mengekalkan kedudukan surplus bagi bulan ke-73 berturut-turut sejak Mei 2020.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, kekuatan prestasi ini mencerminkan daya tahan industri tempatan yang berjaya memanfaatkan lonjakan teknologi dunia.

“Di sebalik ketidaktentuan dalam landskap perdagangan antarabangsa, prestasi perdagangan Malaysia kekal berdaya tahan dengan barangan elektrik dan elektronik (E&E) terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.

“MITI bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan terus memantau rapat perkembangan perdagangan global serta memperkukuh langkah-langkah proaktif bagi mengekalkan daya tahan perdagangan negara dan menyokong momentum pertumbuhan yang mampan,” katanya dalam kenyataan.

Pertumbuhan eksport negara disokong kuat oleh barangan perkilangan yang merangkumi 90.7 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan, dengan nilai lonjakan sebanyak 51.7 peratus kepada RM166.87 bilion.

Mengulas lanjut, katanya, sektor E&E kekal sebagai penyumbang utama yang mana nilai eksportnya melonjak sebanyak RM38 bilion kepada rekod tertinggi baharu bernilai RM91.57 bilion, didorong oleh permintaan global yang amat kukuh terhadap teknologi berkaitan AI dan automotif.

“Selain E&E, eksport hasil galian turut mencatatkan kenaikan dua digit iaitu 36.5 peratus kepada RM8.02 bilion hasil lonjakan eksport gas asli cecair (LNG) daripada segi kuantiti dan harga yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun, eksport keluaran pertanian menyusut 22.9 peratus kepada RM7.56 bilion berikutan kejatuhan kuantiti eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit,” katanya.

Prestasi eksport negara turut disokong permintaan kukuh daripada semua rakan dagang utama yang merekodkan pertumbuhan dua digit termasuk Singapura (+40.4 peratus), China (+27.8 peratus), Amerika Syarikat (+97.7 peratus), Taiwan (+81.8 peratus) dan Kesatuan Eropah (+45.0 peratus).

Eksport ke negara rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pula berkembang 35.1 peratus kepada RM112.03 bilion dengan pasaran utama mencatatkan pertumbuhan positif termasuk Hong Kong, Jepun, India, Australia, Korea Selatan dan United Kingdom.

Dalam pada itu, Malaysia turut mencatatkan lonjakan luar biasa dalam rangkaian pasaran FTA yang lain khasnya Mexico (+123.0 peratus), New Zealand (+101.8 peratus) dan Pakistan (+44.3 peratus) meliputi pelbagai kategori barangan.

Secara kumulatif bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, prestasi perdagangan negara terus memecah rekod tertinggi dalam sejarah bagi tempoh tersebut.

Jumlah perdagangan keseluruhan naik 18.3 peratus kepada RM1.455 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025, didorong oleh eksport yang berkembang 24.3 peratus kepada RM793.84 bilion manakala import menokok 11.8 peratus kepada RM661.07 bilion, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM132.77 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN