PCG sasar kembang perniagaan kimia khusus - Utusan Malaysia

PCG sasar kembang perniagaan kimia khusus

PCG catat pendapatan lebih tinggi berbanding suku sebelumnya. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group (PCG) merancang untuk memperluaskan perniagaan bahan kimia khusus bagi mencapai keseimbangan pendedahan pasaran yang lebih baik di Amerika, Eropah dan Asia, kata CIMB Securities Sdn. Bhd. (CIMB Securities).

Penganalisis Penyelidik CIMB Securities, Muhammad Afif Zulkaplly berkata, perkara tersebut dikongsikan oleh Ketua Pegawai Kewangan PCG, Mohd Azli Ishak semasa sesi pertemuan syarikat itu sempena Invest Malaysia 2026 yang mendapat sambutan baik daripada pelabur.

Katanya, langkah berkenaan mungkin melibatkan pelaburan baharu termasuk di Malaysia, memandangkan syarikat mempunyai kelebihan di pasaran domestik sambil memanfaatkan kepakaran anak syarikatnya, Perstorp.

“Syarikat juga tidak menolak kemungkinan untuk mengagihkan dividen melebihi dasar semasa iaitu 50 peratus, sejajar dengan jangkaan prestasi pendapatan yang kukuh pada tahun 2026.

“Selain itu, PCG menyokong inisiatif MY Value Up dan akan terus berkongsi strategi jangka sederhana hingga panjangnya serta mengekalkan penglibatan berterusan dengan peserta pasaran modal,” katanya dalam nota penyelidikan.

Muhammad Afif berkata, harga produk petrokimia dijangka kekal pada paras lebih tinggi berbanding sebelum konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran, walaupun Selat Hormuz dibuka semula, berikutan kerosakan yang dialami beberapa kemudahan pengeluaran di rantau Teluk.

Menurutnya, segmen baja dan metanol dijangka terus mencatat prestasi kukuh dalam jangka panjang, manakala perniagaan olefin dan derivatif berdepan tekanan akibat lebihan bekalan dalam pasaran global.

“Dalam keadaan ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan itu, PCG memberi keutamaan kepada pelanggan serta tempahan sedia ada di Asia Tenggara yang menawarkan pulangan bersih terbaik selepas mengambil kira kos pengeluaran, pemprosesan dan logistik.

“Konflik di Asia Barat juga dijangka mendorong pengeluar dan pengguna petrokimia mempelbagaikan sumber bahan mentah serta produk akhir yang sebelum ini terlalu bergantung kepada rantau Teluk,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengambilalihan pegangan 50 peratus Saudi Aramco dalam Kompleks Bersepadu Pengerang oleh Petronas menimbulkan persoalan sama ada syarikat minyak nasional itu akan turut mengambil alih pegangan 50 peratus PCG dalam Pengerang Petrochemical Company (PPC).

“Langkah itu dilihat berpotensi memberi manfaat kepada PCG memandangkan produk polimer kini mencatat margin negatif akibat lebihan kapasiti industri.

“Dengan kawalan penuh terhadap kompleks bersepadu berkenaan, Petronas mungkin memperoleh nilai yang lebih baik dengan menjual produk olefin asas seperti etilena berbanding menukarkannya kepada produk polimer.

“Bagaimanapun, sebarang urus niaga sedemikian memerlukan kelulusan pemegang saham minoriti PCG, dengan isu penilaian dijangka menjadi perhatian utama pelabur memandangkan industri kini berada dalam fasa kitaran menurun,” jelasnya

Tambahnya, berdasarkan pegangan 50 peratus PCG, PPC dianggarkan mencatat kerugian sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (LBITDA) sebanyak RM400 juta setahun dan kerugian selepas cukai serta kepentingan minoriti sekitar RM1.2 bilion setahun.

CIMB Securities mengekalkan saranan ‘pegang’ terhadap saham PCG dengan harga sasaran tidak berubah pada RM5.45 sesaham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN