PETALING JAYA: Malaysia dan Wilayah Fergana, Uzbekistan berpotensi memperluaskan kerjasama dalam sektor pertanian serta industri makanan bagi memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan rasminya bersama Gabenor Wilayah Fergana, Khayrullo Bozorov.
Menurut beliau, Fergana merupakan antara kawasan pertanian terpenting di Uzbekistan yang terkenal dengan tanah subur serta pengeluaran hasil pertanian yang pelbagai.
Katanya, wilayah berkenaan mempunyai kekuatan dalam sektor hortikultur, penanaman buah-buahan dan pengeluaran makanan berasaskan pertanian yang menyumbang kepada ekonomi Uzbekistan.
“Malaysia sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik yang mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.
“Antara bidang yang boleh diteroka ialah teknologi pertanian, pemprosesan agromakanan, pengeluaran makanan, industri nilai tambah pertanian dan pembangunan modal insan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pertemuan itu, Mohamad turut menjemput Khayrullo bersama delegasinya menghadiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September depan.
Mohamad berkata, hubungan erat antara Malaysia dengan Uzbekistan, khususnya Wilayah Fergana yang mempunyai asas pertanian kukuh dan ekonomi dinamik, mampu membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan.
“Saya percaya hubungan erat antara Malaysia dan Uzbekistan mampu membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya. – UTUSAN










