Pekin Ibrahim gigih turunkan 20kg dalam masa tiga bulan untuk kembali berlakon - Utusan Malaysia

Pekin Ibrahim gigih turunkan 20kg dalam masa tiga bulan untuk kembali berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lama tidak menghiasi layar perak mahupun kaca televisyen, pengarah dan pelakon, Pekin Ibrahim mengakui dirinya sedang giat menurunkan berat badan sebagai persiapan awal untuk kembali aktif dalam industri.

Menurut Pekin, sebelum ini berat badannya meningkat mencecah 90 kilogram (kg) sepanjang membuat keputusan untuk berehat seketika dari industri demi membesarkan dua cahaya matanya.

“Saya mahu kembali berlakon. Sebelum ini, penampilan saya memang gemuk, berat pun mencecah 90kg. Sekarang saya berjaya turun 20kg dalam masa tiga bulan dan berat terkini saya adalah 68kg.

“Lagipun saya berehat sudah lama kerana memang tidak mahu berlakon untuk fokus perniagaan dan membesarkan anak. Saya tidak mahu tinggalkan anak-anak yang masih kecil.

“Sekarang anak-anak pun sudah besar, jadi saya sudah bersedia untuk kembali fokus untuk berlakon filem,” katanya.

Pekin berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran lagu baharu dan muzik video kumpulan X-Factor yang berjudul Walu Walu di Putrajaya, pada Selasa.

Ditanya mengenai rutin pemakanannya, suami kepada pelakon, Mona Allen itu mengakui selain dorongan isteri, dia kurangkan pengambilan gula dan makan sehari sekali (OMAD) setiap hari.

“Saya amalkan kurangkan pengambilan gula dan makan sehari sekali sahaja. Bulan pertama itu memang saya kawal pemakanan saya sangat ketat.

“Kali ini saya memang nekad untuk kurus demi membuat persediaan awal takut masa terlalu singkat untuk turunkan berat badan sebelum masuk ke set penggambaran.

“Setiap panggilan tawaran yang diterima pun tidak menetapkan sebarang garis masa, jadi saya diet saja supaya kurang tekanannya nanti,” jelasnya.

Pun begitu, Pekin mengakui dirinya pernah berada di fasa selesa sehingga hampir membuat keputusan untuk tidak kembali berlakon selain memilih kekal fokus melakukan kerja di belakang tabir.

“Sepanjang tidak aktif, saya memang fokus berniaga. Tetapi saya tetap aktif melakukan kerja di belakang tabir mengarah komersial TV, iklan raya dan sebagainya. Cuma tidak berlakon

“Sejujurnya apabila sudah lama tidak berlakon dan lama berehat, saya jadi malas mahu berlakon. Badan pula sudah gemuk, jadi saya ada satu peringkat yang saya sudah terlalu selesa.

“Ketika itu, apabila tawaran datang pun saya tolak banyak. Saya tolak kerana saya fikir mereka bayangkan fizikal saya seperti 20 tahun lepas sedangkan saya sudah gemuk. Jadi saya tidak mahu perkara itu berlaku,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN