Mytreasure sasar buka 20 cawangan baharu

Mytreasure sasar buka 20 cawangan baharu

ALANN Tan (ketiga dari kiri) bersama Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal bin Abdul Rahim, (ketiga dari kanan) selepas majlis perasmian pembukaan rasmi MyTreasure di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 (KLIA2).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Mytreasure menyasarkan membuka antara 10 hingga 20 cawangan di seluruh negara dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang bagi memperluas akses kepada produk tempatan serta memenuhi keperluan pelancong yang berkunjung ke Malaysia.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif JYY Group, Alann Tan berkata, langkah itu bertujuan memudahkan pelancong mendapatkan pelbagai produk serta cenderamata premium Malaysia di lokasi strategik tumpuan pelawat.

Beliau berkata, tiga lokasi utama dikenal pasti bagi fasa awal pengembangan ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru, namun kajian lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti destinasi lain berpotensi tinggi dalam sektor pelancongan.

“Kami akan memberi tumpuan kepada lokasi utama terlebih dahulu sebelum memperluaskan rangkaian ke kawasan lain berdasarkan corak pergerakan dan kehadiran pelancong,” katanya selepas majlis pelancaran cawangan pertama Mytreasure di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, cawangan ke­dua syarikat itu akan dibuka bulan hadapan di Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang, yang merupakan lokasi strategik dan mudah diakses.

“Pada bulan hadapan, kami akan membuka cawangan kedua di Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang. Lokasi ini sangat strategik dan mudah diakses.

“Mytreasure turut menekankan konsep kedai sebagai hab pengalaman bagi membolehkan pelanggan bukan sahaja membeli produk, tetapi turut merasai keunikan Malaysia.

“Kami mahu mewujudkan kedai yang juga menjadi hab pengalaman menarik supaya pengunjung bukan sekadar membeli dan membawa pulang produk, tetapi turut menikmati keunikan Malaysia. Dengan itu, mereka akan membawa pulang kenangan tentang negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mytreasure merancang memperkenalkan lebih banyak produk baharu berasaskan khazanah tempatan susulan maklum balas positif pelanggan.

Alann berkata, antara pro­duk yang sedang diteroka termasuk coklat premium berasaskan bahan tempatan seperti durian Musang King dan madu kelulut (Trigona), selain produk berasaskan propolis termasuk gula-gula kesihatan.

“Kami melihat masih terdapat ruang besar untuk menghasilkan produk inovatif berasaskan bahan tempatan. Contohnya, coklat dengan madu kelulut masih jarang ditemui di pasaran.

“Selain itu, kami turut merancang memperkenalkan produk berasaskan propolis termasuk gula-gula kesihatan sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap produk kesejahteraan dan kesihatan semula jadi,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia memiliki pelbagai khazanah semula jadi yang berpotensi setanding produk terkenal dunia seperti madu Manuka dari New Zealand dan propolis hijau dari Brazil, namun masih kurang diketengahkan di peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×