PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad melancarkan kempen Matrix 30A HOME Rush sempena sambutan ulang tahun ke-30, sekali gus menjadi kempen pemilikan rumah terbesar pernah dianjurkan dengan tawaran keseluruhan melebihi RM30 juta dalam bentuk penjimatan, ganjaran dan hadiah.
Kempen itu berlangsung dari 30 Jun hingga 30 November 2026 itu bertemakan “beli sebuah rumah, berpeluang memenangi satu lagi”, bertujuan menjadikan pengalaman memiliki rumah lebih bermakna serta memberi nilai tambah kepada pembeli di samping meraikan tiga dekad pertumbuhan syarikat bersama komuniti.
Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad, Kelvin Lee berkata, kempen tersebut merupakan tanda penghargaan kepada pelanggan yang telah menyokong perjalanan syarikat selama 30 tahun.
“Selama 30 tahun, kami bukan sahaja membina rumah, tetapi membina komuniti. Segala pencapaian hari ini adalah hasil kepercayaan dan sokongan semua pihak yang bersama kami sepanjang perjalanan ini,” katanya semasa majlis pelancaran kempen tersebut.
Menurut beliau, kempen Matrix 30A HOME Rush yang berlangsung dari 30 Jun hingga 30 November 2026 itu menawarkan pelbagai insentif kepada pembeli termasuk penjimatan, ganjaran istimewa dan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM30 juta merentasi projek terpilih.
Kelvin berkata, kempen itu meliputi projek pembangunan di Negeri Sembilan, Johor dan Lembah Klang, dengan setiap pembelian unit terpilih melayakkan pembeli menyertai cabutan bertuah bagi memenangi tiga unit rumah utama bernilai keseluruhan lebih RM1.6 juta.
Selain itu, beberapa projek turut menawarkan rebat tunai sehingga RM100,000, selain pelbagai ganjaran lain termasuk Matrix Mystery Home Box, insentif rujukan serta hadiah eksklusif seperti peralatan rumah dan baucar khas.
“Kempen tersebut turut memperkenalkan konsep Mystery Home Box yang mengandungi kad ganjaran rahsia dengan nilai antara RM1,888 hingga RM5,888, memberi elemen kejutan kepada pembeli rumah sepanjang tempoh promosi,” katanya.
Jelas Kelvin, sambutan ulang tahun ke-30 bukan sahaja tertumpu kepada pembeli rumah, malah turut melibatkan orang ramai melalui permainan dalam talian interaktif yang membolehkan peserta bersaing di papan kedudukan dan memenangi hadiah bulanan.
Pada kemuncak kempen, katanya, peserta berpeluang memenangi hadiah utama termasuk jongkong emas 30 gram, selain pelbagai hadiah lain seperti pakej percutian, telefon pintar dan peralatan rumah premium yang akan diumumkan pada acara penutup pada Januari 2027.
“Selama tiga dekad, kami membina bukan sahaja rumah tetapi komuniti yang berkembang bersama kami. Kempen ini adalah cara kami memberi kembali kepada pelanggan melalui ganjaran dan pengalaman bermakna,” katanya.
Majlis pelancaran turut memperkenalkan lima maskot baharu dikenali sebagai Matrix Elementals yang mewakili nilai teras ekosistem pembangunan syarikat merangkumi pembangunan, pendidikan, kelestarian, kesihatan serta gaya hidup.-UTUSAN










