Malaysia perketat penilaian pelaburan AI

Malaysia perketat penilaian pelaburan AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memastikan setiap pelaburan yang masuk ke dalam sektor kecerdasan buatan (AI) memberikan limpahan manfaat ekonomi yang positif sejak hari pertama pelaksanaannya.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, aspek tenaga menjadi antara pertimbangan utama dalam menilai pelaburan berkaitan AI.

“Banyak syarikat global kini semakin komited terhadap penggunaan tenaga hijau dan tenaga bersih apabila melaksanakan pelaburan mereka di Malaysia, sejajar dengan agenda pembangunan mampan negara.

“Apabila pelaburan masuk, kita mahu memastikan kesan limpahannya kepada ekonomi adalah positif sejak hari pertama.

“Komitmen syarikat terhadap penggunaan tenaga bersih dan amalan lestari merupakan faktor yang semakin penting dalam keputusan pelaburan,” katanya dalam dialog menuju keperluan tenaga AI: menggerakkan era pertumbuhan ASEAN di Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.

Antara panel terlibat, Ketua Pegawai Eksekutif DayOne Data Centers, Jamie Khoo serta Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Siti Safinah Salleh.

Menurut Tengku Zafrul, rangka kerja insentif baharu yang diperkenalkan pada Mac lalu mengambil pendekatan berbeza terhadap pelaburan dalam sektor teknologi dan AI.

“Kerajaan kini lebih selektif dalam menilai projek-projek yang berpotensi diluluskan, khususnya yang melibatkan pembangunan infrastruktur digital seperti pusat data,” katanya.

Dalam konteks tersebut, ujarnya, kecekapan tenaga pusat data menjadi antara syarat utama yang diberi perhatian.

“MIDA telah memperkenalkan pelbagai kaedah penilaian dan syarat bagi memastikan operasi pusat data lebih mampan dan cekap dari segi penggunaan sumber.

“Selain kecekapan tenaga, aspek kecekapan utiliti seperti penggunaan air turut dinilai secara menyeluruh. Langkah ini bertujuan memastikan pembangunan pusat data tidak memberi tekanan berlebihan kepada sumber negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia turut memberi penekanan kepada pembangunan pusat data hijau sebagai sebahagian daripada strategi menarik pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor AI dan ekonomi digital.

“Kecekapan tenaga, pengurusan utiliti yang mampan dan pembangunan pusat data hijau merupakan antara faktor utama yang kami pertimbangkan apabila menilai pelaburan ke Malaysia, khususnya yang melibatkan infrastruktur AI,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN