LHDN terima lebih 1.5b e-Invois daripada lebih 250,000 pembayar cukai setakat ini - Utusan Malaysia

LHDN terima lebih 1.5b e-Invois daripada lebih 250,000 pembayar cukai setakat ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima lebih 1.5 bilion e-Invois daripada lebih 250,000 pembayar cukai setakat ini, mencerminkan tahap pematuhan yang positif sejak pelaksanaan sistem percukaian digital itu diperkenalkan.

Pengarah Bahagian e-Invois Sektor Operasi Cukai LHDN, Dr Rasyidah Che Rosli berkata, jumlah tersebut menunjukkan kebanyakan pembayar cukai yang terlibat dalam fasa pelaksanaan setakat ini telah mematuhi keperluan e-Invois.

“Bagi memastikan semua pihak memahami dan mematuhi keperluan yang ditetapkan, LHDN telah memperkenalkan Kerangka Pematuhan e-Invois (e-Invoice Compliance Framework).

Kerangka ini menjelaskan tanggungjawab pembayar cukai, proses audit, penalti yang boleh dikenakan serta keperluan dokumentasi yang perlu disediakan.

Dari sudut tadbir urus, terdapat proses pengesahan awal dan pembayar cukai bertanggungjawab memastikan data yang dihantar kepada LHDN adalah tepat dan lengkap,” katanya pada Persidangan Fokus Cukai Pertengahan Tahun ACCA 2026 di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, LHDN juga mengenal pasti beberapa isu pematuhan yang masih perlu diberi perhatian oleh pembayar cukai.

“Antara ketidakpatuhan yang dikesan ialah terdapat pembayar cukai yang mengeluarkan e-Invois hanya bagi sebahagian transaksi dan bukannya untuk semua transaksi yang sepatutnya direkodkan dalam sistem.

“Selain itu, LHDN turut mengesan kelewatan dalam pengeluaran invois terkumpul, penghantaran data yang tidak lengkap, penggunaan kod transaksi yang tidak tepat serta kegagalan mengeluarkan e-Invois individu bagi transaksi melebihi RM10,000 seperti yang ditetapkan,” ujarnya.

Menurut Rasyidah, LHDN menggunakan data yang diperoleh menerusi sistem e-Invois bagi menjalankan analisis risiko dan mengenal pasti corak ketidakpatuhan dalam kalangan pembayar cukai.

Beliau berkata, pendekatan yang diambil LHDN ketika ini lebih tertumpu kepada pendidikan dan pematuhan sukarela, termasuk menghubungi pembayar cukai yang dikenal pasti mempunyai isu tertentu bagi membolehkan tindakan pembetulan dibuat lebih awal.

“Kami mempunyai papan pemuka dan sistem pemantauan yang membolehkan kami melihat corak transaksi serta mengenal pasti perkara yang tidak konsisten.

“LHDN akan menghubungi pembayar cukai untuk mendapatkan penjelasan dan membantu mereka membuat pembetulan jika perlu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN