PETALING JAYA: Kerjaya Prospek Group Bhd. (Kerjaya Prospek) memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM488.4 juta daripada Persada Mentari Sdn. Bhd. bagi pembangunan projek pangsapuri servis di Seksyen 2, Tanjung Pinang, Pulau Andaman, Pulau Pinang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Kerjaya Prospek berkata, kontrak tersebut diterima menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd.
Katanya, kontrak itu melibatkan pelaksanaan dan penyiapan pembangunan dua fasa yang merangkumi dua blok pangsapuri servis setinggi 46 tingkat dengan jumlah keseluruhan 1,080 unit, termasuk kemudahan rekreasi, parkir bawah tanah, ruang komersial serta kemudahan parkir podium.
“Projek yang terletak di Lot 854 (Plot Lama Plot E), Bandar Tanjung Pinang, Pulau Andaman itu dijadual bermula pada 1 Julai 2026 dan siap dalam tempoh 42 bulan,” katanya.
Persada Mentari merupakan anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd (E&O).
Menurut Kerjaya Prospek, kontrak berkenaan dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan kepada kumpulan dan mengukuhkan lagi buku pesanan sedia ada.
“Kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2026 hingga 2029,” ujarnya.
Syarikat itu berkata, kontrak berkenaan diklasifikasikan sebagai urus niaga berulang pihak berkaitan (RRPT) susulan hubungan kepentingan melibatkan beberapa pengarah dan pemegang saham utama dalam Kerjaya Prospek serta E&O.
Namun begitu, mandat pemegang saham bagi urus niaga tersebut telah diperoleh pada Mesyuarat Agung Tahunan syarikat pada 12 Jun 2026. – UTUSAN










