Kejatuhan Bursa Malaysia kerana pembetulan pasaran - Utusan Malaysia

Kejatuhan Bursa Malaysia kerana pembetulan pasaran

BURSA Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejatuhan Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ketika ini lebih kepada pembetulan pasaran dipacu sentimen luaran berbanding kemerosotan asas ekonomi negara.

Pada pukul 5 petang semalam, Bursa Malaysia ditutup rendah 1.83 mata kepada 1,665.91 mata, berbanding 1,667.74 mata penutupan Jumaat lalu.

FBM KLCI terakhir kali mencatat paras 1,700 mata pada 22 Jun lalu dengan penutupan 1,700.84 mata, sebelum susut pada 23 Jun ke 1,679.92 mata.

Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, Bursa Malaysia berpotensi menguji paras 1,640 hingga 1,620 mata sekiranya tekanan global meningkat dan paras sokongan teknikal gagal bertahan.

“Pada pandangan saya, kejatuhan ini masih dalam kategori pembetulan pasaran yang sihat, bukannya petanda ekonomi Malaysia sedang memasuki krisis.

“Beberapa asas ekonomi Malaysia masih kekal kukuh, antaranya pertumbuhan ekonomi yang masih positif, sistem perbankan yang stabil serta keuntungan syarikat-syarikat utama yang secara keseluruhannya stabil.

“Namun, pasaran saham bergerak berdasarkan jangkaan masa depan, bukan semata-mata keadaan semasa. Oleh itu, apabila pelabur lebih berhati-hati terhadap prospek global, mereka akan mengurangkan pegangan dalam aset berisiko seperti ekuiti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, indeks berkenaan berpotensi kembali menguji paras 1,700 hingga 1,720 mata sekiranya sentimen Wall Street pulih, aliran dana asing kembali masuk dan keputusan kewangan syarikat melepasi jangkaan.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, paras 1,660 mata kini menjadi tumpuan utama pasaran saham tempatan apabila indeks penanda aras FBM KLCI didapati menguji tahap sokongan penting tersebut selepas beberapa kali bertahan sejak Mac 2026.

“Paras itu bukan sahaja mempunyai kepentingan teknikal, malah turut dilihat sebagai paras psikologi yang mempengaruhi sentimen pelabur jangka pendek.
“Namun begitu, penurunan yang berlaku tidak dianggap sebagai tanda kelemahan ketara pasaran, sebaliknya lebih kepada aktiviti pengambilan untung selepas prestasi positif sejak awal tahun,” katanya.

Beliau berkata, walaupun indeks menunjukkan tekanan, FBM KLCI masih mencatat kenaikan sekitar 3.0 peratus sejak awal tahun, menunjukkan asas pasaran masih stabil.

“Penilaian pasaran juga kekal pada tahap sederhana dengan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sekitar 14 kali, manakala hasil dividen dianggarkan sekitar 4.3 peratus.

“Situasi ini lebih kepada pembetulan sihat dalam kitaran kenaikan, bukan kejatuhan mendadak,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam jangka masa satu hingga tiga bulan akan datang, pasaran dijangka bergerak dalam julat mendatar antara 1,640 hingga 1,700 mata, dengan kecenderungan sedikit ke bawah.

“Paras sokongan utama dilihat pada 1640 hingga 1,650 mata, manakala rintangan berada sekitar 1,680 hingga 1,700 mata,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN