Jualan Rendang Maman Wan Inun melonjak selepas disah halal

Jualan Rendang Maman Wan Inun melonjak selepas disah halal

ABDUL Hafiz Azam menunjukkan antara produk rendang maman keluaran Wan Inun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama makanan sejuk beku, Rendang Maman Wan Inun mencatatkan peningkatan jualan mencecah lebih RM40,000 selepas memperoleh pensijilan halal pada Oktober 2024.

Pengusahanya, Abdul Hafiz Azam berkata, produknya terus mencatat perkembangan positif apabila sijil halal yang diterima berjaya meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk keluaran syarikat selain membuka peluang lebih luas untuk menembusi pasaran utama.

“Permohonan sijil halal dibuat pada Mei 2024 sebagai langkah strategik untuk memperkukuh jenama serta meningkatkan kepercayaan pengguna Islam.

“Selepas memperoleh sijil halal pada Oktober 2024, sambutan pengguna semakin memberangsangkan kerana pelanggan lebih yakin terhadap produk kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pensijilan halal bukan sahaja membantu meningkatkan jualan, malah memudahkan aspek pemasaran dan penjenamaan produk selain berpotensi membuka laluan ke pasaran eksport pada masa depan.

Menurut Abdul Hafiz, produk utama syarikat itu ialah rendang maman sejuk beku yang dihasilkan menggunakan bahan mentah tempatan berkualiti seperti daun maman, cili api, kunyit hidup, asam keping, santan segar atau pekat serta garam kasar.

“Produk tersebut dibungkus dalam pek 250 gram bagi memudahkan pengguna selain sesuai dijadikan hidangan segera.

“Antara pilihan yang ditawarkan termasuk Rendang Maman Ayam Pencen, Rendang Maman Daging dan Rendang Maman Ikan Bilis yang dijual pada harga RM20 sepeket, manakala Rendang Maman Itik Salai serta Rendang Maman Kambing ditawarkan pada harga RM27,” katanya.

Rekod jualan syarikat turut menunjukkan peningkatan apabila hasil jualan meningkat daripada RM40,178 pada 2024 kepada RM43,796 pada 2025, iaitu pertambahan sebanyak RM3,618 selepas pensijilan halal diperoleh.

Bagi perancangan masa depan, syarikat menyasarkan untuk memperluaskan lagi rangkaian produk termasuk menghasilkan produk retort bagi memanjangkan jangka hayat makanan.

Selain itu, Abdul Hafiz juga merancang memperkenalkan pek kembara seperti rendang maman bersama nasi putih, lemang dan ketupat bagi memenuhi permintaan pengguna yang mahukan makanan segera dan mudah dibawa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×