PETALING JAYA: I-Berhad mempercepatkan transformasi i-City daripada sebuah bandar raya ultra digital kepada ekosistem bandar raya yang dipacu kecerdasan buatan (AI), selaras dengan sasaran kumpulan untuk meneroka peluang pertumbuhan jangka panjang baharu yang berteraskan teknologi, hartanah dan aliran pendapatan berulang.
Di bawah strategi tersebut, i-City sedang diposisikan semula sebagai platform bandar berlapis yang menggabungkan hartanah, infrastruktur digital dan sistem pintar dalam persekitaran yang semakin bersepadu.
Kumpulan itu berkata, model berkenaan mencerminkan peralihan lebih luas ke arah penerapan AI dan automasi merentasi fungsi utama bandar, termasuk pengurusan bangunan, mobiliti, perkhidmatan gaya hidup dan operasi komersial, dengan matlamat meningkatkan kecekapan operasi sambil membuka peluang pendapatan baharu berasaskan teknologi dari semasa ke semasa.
Strategi itu dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-59 kumpulan, yang turut menyaksikan prestasi kewangan lebih kukuh bagi tahun kewangan 2025.
Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM322.7 juta, meningkat 45 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai melonjak 74 peratus kepada RM74.6 juta, disokong oleh sumbangan daripada segmen pembangunan hartanah, hospitaliti, rekreasi dan pelaburan.
I-Berhad berkata, prestasi itu mencerminkan asas pendapatan yang semakin pelbagai, dengan segmen bukan hartanah memainkan peranan lebih besar dalam menyumbang kepada keuntungan kumpulan.
Kumpulan berkata, ia kini memasuki fasa pembangunan baharu susulan pelancaran AI World Experience Centre (AIWEC), yang berfungsi sebagai platform operasi pertama kumpulan untuk mengintegrasikan kecerdasan buatan dan robotik ke dalam aplikasi bandar sebenar di i-City.
Berdasarkan asas itu, kumpulan sedang memperluaskan ekosistem AI menerusi kerjasama dengan Mesiniaga Berhad, TwinMatrix yang berpangkalan di Singapura dan AgiBot dari China.
“Kerjasama itu bertujuan mengintegrasikan robotik, ejen AI, teknologi kesejahteraan dan sistem bangunan pintar ke dalam satu rangka kerja bandar yang bersatu dan sentiasa berkembang.
“Lembaga pengarah percaya pendekatan ekosistem ini akan mewujudkan peluang pendapatan baharu berasaskan teknologi, selain meningkatkan nilai jangka panjang aset hartanah, hospitaliti dan pelaburan kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Ketika ini, i-City mempunyai baki saluran pembangunan bernilai kira-kira RM5 bilion dan strategi ekosistem AI dijangka dapat mempelbagaikan sumber pendapatan melangkaui pembangunan hartanah konvensional serta mengukuhkan kedudukan i-City sebagai destinasi kehidupan bandar yang dipacu inovasi.
Pengerusi Bukan Eksekutif I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, kumpulan kekal memberi tumpuan kepada pelaksanaan yang berdisiplin dan pengurusan kos yang berhemat sambil melabur dalam peluang struktur jangka panjang.
“Selama lebih dua dekad, kami memberi tumpuan kepada pembangunan destinasi. Hari ini, kami membangunkan persekitaran pintar yang menggabungkan hartanah, teknologi dan pengalaman harian bagi mewujudkan nilai yang berkekalan.
“AI dan robotik bukanlah perniagaan yang berasingan bagi i-City. Sebaliknya, ia merupakan lapisan nilai baharu yang akan meningkatkan nilai aset sedia ada serta mewujudkan peluang pendapatan berulang yang baharu,” katanya.
Kim Hong berkata, dengan menggabungkan kecerdasan buatan, robotik dan teknologi kesejahteraan dalam satu ekosistem, kumpulan mewujudkan persekitaran kediaman yang akan terus berkembang seiring keperluan penghuninya.
“Ketika Malaysia mempergiatkan agenda nasional berkaitan AI, i-City dilihat berada pada kedudukan strategik sebagai tapak ujian bagi teknologi bandar pintar, sekali gus merapatkan jurang antara inovasi dan persekitaran kehidupan sebenar.
“Kami tidak lagi ditakrifkan semata-mata oleh apa yang kami bina, tetapi oleh pengalaman yang mampu diwujudkan melalui pembangunan kami untuk masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN










