Halal lonjak permintaan Ayam Kampung Mambau

Halal lonjak permintaan Ayam Kampung Mambau

NURHANISSA Mohd. Asrafadden menunjukkan produk ayam kampung segar keluaran syarikatnya di Mambau, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ayam Kampung Mambau mencatatkan peningkatan jualan bulanan daripada sekitar RM10,000 kepada RM15,000 hingga RM20,000 selepas memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) pada November tahun lalu.

Pengurus Operasi Hasanah Harta Sdn. Bhd., Nurhanissa Mohd. Asrafadden berkata, jenama Ayam Kampung Mambau itu menawarkan ayam kampung segar yang telah diproses, disahkan halal dan dibungkus secara vakum bagi menjamin kebersihan serta kualiti produk.

Katanya, ayam kampung yang diternak secara separa bebas itu dijual pada harga sekitar RM18 hingga RM25 sekilogram bergantung kepada berat dan keadaan pasaran semasa.

“Kami menguruskan sendiri keseluruhan rantaian operasi bermula daripada penternakan, pemprosesan sehingga pemasaran bagi memastikan setiap peringkat mematuhi piawaian dan prosedur halal yang ditetapkan.

“Ayam turut diberi makanan berkualiti serta sumber protein tambahan seperti ketum ayam (Trichanthera gigantea) bagi menyokong tumbesaran yang sihat dan berkualiti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, selain membekalkan ayam kampung halal kepada pengguna, syarikat turut bekerjasama dengan penternak kecil tempatan dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan mereka serta menyokong pembangunan industri penternakan yang mampan.

Menurut Nurhanissa, proses mendapatkan pensijilan halal bermula pada Mac 2025 selepas syarikat memastikan operasi dan dokumentasi memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Katanya, syarikat turut melaksanakan pelbagai kerja naik taraf premis termasuk penambahbaikan aspek kebersihan, susun atur operasi, pengurusan pemprosesan dan dokumentasi bagi memenuhi piawaian pensijilan halal.

“Pensijilan halal amat penting kerana ia memberi keyakinan kepada pengguna bahawa produk kami diproses mengikut syariah Islam serta memenuhi standard kebersihan dan keselamatan makanan yang ditetapkan.

“Selepas melalui proses audit dan penilaian yang menyeluruh, pensijilan halal berjaya diperoleh pada 15 November 2025,” katanya.

Beliau berkata, manfaat yang diperoleh selepas mendapat pensijilan halal amat ketara apabila syarikat menerima lebih banyak pertanyaan daripada restoran, pengusaha katering dan perniagaan makanan yang memerlukan bekalan ayam kampung yang diiktiraf halal.

Selain itu, katanya, Ayam Kampung Mambau juga sering menerima lawatan akademik daripada pelajar universiti khususnya dalam bidang pengurusan halal dan industri makanan.

“Kami berbangga dapat berkongsi pengalaman serta memberi pendedahan mengenai pelaksanaan sistem halal dalam operasi pemprosesan ayam kampung kepada generasi muda,” katanya.

Mengulas perancangan masa depan, Nurhanissa berkata, syarikat menyasarkan untuk menjadi pembekal ayam kampung halal yang dipercayai di Negeri Sembilan sebelum memperluaskan pasaran ke seluruh negara.

“Kami juga merancang meningkatkan kapasiti pengeluaran, menambah rangkaian produk berasaskan ayam kampung serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Pada masa sama, kami mahu meningkatkan kesedaran pengguna mengenai manfaat ayam kampung sebagai sumber protein berkualiti yang mempunyai tekstur lebih pejal, rasa yang lebih asli dan diternak secara lebih semula jadi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×